Krisis COVID-19 mungkin akan 'terus memburuk'
Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia akan hanya terus memburuk jika negara-negara gagal mematuhi langkah-langkah jagaan kesihatan yang ketat, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan amaran tersebut pada Isnin (13 Jul).

(Gambar: Bernama)
GENEVA/ZURICH: Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia akan hanya terus memburuk jika negara-negara gagal mematuhi langkah-langkah jagaan kesihatan yang ketat, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan amaran tersebut pada Isnin (13 Jul).
"Biar saya berterus terang, terlalu banyak negara sedang menuju ke arah yang salah, virus itu tetap menjadi musuh nombor satu masyarakat," kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam taklimat maya dari ibu pejabat agensi PBB itu di Geneva.
"Sekiranya asas-asasnya tidak dipatuhi, hanya satu saja kesudahan pandemik ini - ia akan terus memburuk."
Jumlah jangkitan sejagat sudah mencecah 13 juta, menurut kiraan Reuters, dengan lebih setengah juta kematian dilaporkan.
Dr Tedros, yang kepimpinannya dikritik oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, berkata bahawa daripada 230,000 kes baru yang dilaporkan pada Ahad, 80 peratus adalah dari 10 negara, dan 50 peratus daripada hanya dua negara.
Amerika Syarikat dan Brazil adalah negara yang paling teruk terjejas.
Ketua kecemasan WHO, Mike Ryan berkata beberapa kawasan di Amerika Syarikat mungkin memerlukan "kepungan terhad atau tertumpu secara geografi yang berupaya membendung penularan di kawasan-kawasan tertentu di mana penularan secara terus terang semakin tidak terkawal".
Beliau turut menggesa negara-negara dunia supaya jangan menjadikan sekolah sebagai isu politik, sebaliknya menekankan bahawa sekolah boleh dibuka dengan selamat apabila virus tersebut berjaya dikawal.
Dr Tedros berkata bahawa WHO masih belum diberitahu secara rasmi mengenai pengunduran Amerika Syarikat seperti yang diumumkan oleh Encik Trump. Presiden Amerika Syarikat itu berkata WHO sejak dari peringkat awal krisis, terlalu berpihak kepada China di mana virus COVID-19 pertama kali dikesan pada lewat tahun lalu.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.