Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Krisis Afghanistan: Momentum kebangkitan Taliban dan kesannya ke atas Asia Tenggara

Pakar politik dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menilai ancaman keselamatan ke atas Singapura dan rantau ini akibat krisis di Afghanistan.

Anggaran Waktu Membaca:
Krisis Afghanistan: Momentum kebangkitan Taliban dan kesannya ke atas Asia Tenggara

Seorang pejuang Taliban di Kabul pada 16 Ogos. (Gambar: AP)

BERITAmediacorp: Keadaan tidak stabil di Afghanistan menimbulkan risiko kemunculan semula kumpulan-kumpulan pengganas.

Selain Taliban, sesetengah pemimpin dunia bimbang ia menjadi batu loncatan baru untuk Al-Qaeda, ISIS dan Jemaah Islamiyah (JI) bangkit semula setelah ditumbangkan atau diusir.

Ancaman pengganas dan pengaruh mereka untuk mendapatkan anggota dari rantau Asia Tenggara menimbulkan keprihatinan.

Pasukan tentera Amerika Syarikat pernah menumpaskan Taliban dan Al Qaeda di Afghanistan 20 tahun lalu. Ia menandakan berakhirnya pemerintahan Taliban selama lima tahun dari 1996-2001.

Ketika berkuasa, Taliban menyediakan tempat perlindungan untuk kumpulan Al Qaeda beroperasi.

Dengan tindakan Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya baru-baru ini, ia mewujudkan kekosongan yang mungkin diisi semula bukan sahaja oleh Al Qaeda tetapi juga kumpulan ISIS.

Ini dikhuatiri menimbulkan kesan keselamatan meluas termasuk di Asia Tenggara.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menyatakan meskipun tiada ancaman pengganas yang khusus terhadap Singapura, kumpulan-kumpulan militan boleh menggunakan pengaruh ideologi sebagai satu "teater untuk jihad" untuk menarik anggota baru ke Afghanistan.

Malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini Afghanistan terus menarik anggota militan dari Asia Tenggara dan ini menimbulkan ancaman menerusi keupayaan mereka untuk mengarahkan dan memudahkan kegiatan pengganas di rantau ini.

Timbalan Ketua Jabatan Sains Politik di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Bilveer Singh berkata anggota utama ISIS di Asia Tenggara sudah pun berada di Afghanistan.

"Nama dia Saefullah. Dia sudah ada di sana. Dia dari Indonesia pergi ke Iraq, Syria, kembali ke sini jadi pendana di rantau ini dan dari Indonesia. Dia balik ke Indonesia. Habis itu disoal oleh polis, lepas itu dia kata saya nak ke umrah. Ke umrah akhirnya di Kabul. Sekarang dia ada di Afghanistan. Dia memberi dana, mengalir dan rangkaian dia di rantau ini luar biasa," kata Profesor Bilveer.

ISD menyatakan pada 2019, beberapa anggota militan ISIS dari Indonesia telah menyertai ISIS-K atau ISIS Wilayah Khorasan di Afghanistan dan tidak melakukan perjalanan ke Syria.

Salah seorang daripada mereka ialah Saefullah yang merancang dan membiayai serangan-serangan di Asia Tenggara menerusi rangkaian rentas negara ketika dia menggotai ISIS-K.

ISIS-K dinamakan sempena wilayah Khorasan dalam era yang dianggap sebagai zaman kegemilangan Islam.

Selain itu menurut ISD, sekurang-kurangnya 11 tahanan JI Singapura juga diketahui telah menghadiri kem latihan Al-Qaeda di Afghanistan.

Ada yang terlibat merancang kegiatan pengganasan di Singapura.

Dengan perkembangan terbaru di Afghanistan, rantau itu mungkin akan menarik individu yang menjadi radikal secara sendiri dan mahu menyertai peperangan.

Ini bagaimanapun tidak bermakna rangkaian kumpulan pengganas sudah hilang peranannya.

Profesor Bilveer berkata kelompok pengganas yang paling kuat di Asia Tenggara hari ini masih Jemaah Islamiyah.

"Tetapi fokus mereka itu di Indonesia. Di Malaysia ada kelompok kecil, di Filipina ada, di Singapura mantan JI masih ada tapi yang paling penting mungkin sudah ada 4,000 pengikut. Banyak dana, banyak konsep dan banyak pemimpin mereka. Bagi saya Al-Qaeda dan ISIS masih hidup di rantau ini. Tunggu pemicunya, tunggu bila seorang akan tekan butang. Itu saja. Benar, dengan Amerika Syarikat keluar, kembali kepada perang.

Para anggota militan di Afghanistan dijangka mengambil kesempatan daripada situasi sekarang yang menuju ke arah sebuah negara gagal.

Seperti amaran daripada beberapa ahli politik, kebangkitan mereka adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan sedang keadaan di Afghanistan terus bergolak. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan