Skip to main content

Dunia

Krim pemutih 'Brilliant Skin Essentials' dikesan mengandungi racun berjadual

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini (11 Jun) mengesahkan produk kosmetik Brilliant Skin Essentials Whitening Facial Cream mengandungi racun berjadual Tretinoin.

Anggaran Waktu Membaca:
Krim pemutih 'Brilliant Skin Essentials' dikesan mengandungi racun berjadual

(Gambar: Twitter/KKM)

Diterbitkan : 11 Jun 2021 09:17PM Dikemas Kini : 11 Jun 2021 09:19PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini (11 Jun) mengesahkan produk kosmetik Brilliant Skin Essentials Whitening Facial Cream mengandungi racun berjadual Tretinoin.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata notifikasi produk kosmetik itu telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM. 

"Oleh itu, produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia. KKM ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata produk yang mengandungi tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan. 

Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kemerahan di bahagian kulit, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Beliau juga mengingatkan tindakan pihak yang menjual dan mengedar produk itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 (S$8,059) atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama. 

Bagi kesalahan berulang, denda tidak melebihi RM50,000 (S$16,118) atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” katanya. 

Syarikat yang melakukan kesalahan itu pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 (S$16,118) untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 (S$32,237) bagi kesalahan berikutnya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita