Skip to main content

Dunia

KPDN Malaysia rekod 31 kes kenderaan asing isi RON95 sejak 1 Apr

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Malaysia merekodkan 31 kes kesalahan kenderaan asing mengisi petrol RON95 di seluruh negara sejak larangannya diperluas pada 1 April lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Azman Adam berkata perbezaan harga petrol yang ketara dan lebih rendah di Malaysia berbanding negara jiran menjadi antara faktor yang mendorong pelanggaran arahan tersebut.

"Mereka turut menggunakan alasan, kononnya tidak tahu stesen minyak yang menjual RON97," katanya pada sidang media selepas menyertai operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Johor Bahru pada Jumaat malam (17 Apr).

Encik Azman berkata tindakan terhadap kesalahan tersebut boleh diambil sama ada melalui kompaun atau pendakwaan di mahkamah. 

Beliau berkata jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh didenda sehingga RM1 juta (S$320,695.60), manakala jumlah kompaun pula bergantung kepada jenis kesalahan serta jumlah yang terlibat.

Pada masa sama katanya, beberapa syarikat stesen minyak masih dalam proses konfigurasi sistem pelaksanaan sepenuhnya larangan penggunaan kad kredit dan debit asing di terminal layan diri pam minyak.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata JPJ setakat ini mengeluarkan 5,984 notis saman dengan kompaun bernilai RM2.195 juta (S$703,926) menerusi penguatkuasaan permit kemasukan kenderaan (VEP) yang dilaksanakan sejak 1 Julai 2025.

Beliau berkata secara keseluruhan, sebanyak 82,987 kenderaan diperiksa di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Taman Daya.

JPJ dan KPDN, juga katanya melaksanakan penguatkuasaan di seluruh negara termasuk Johor yang menumpukan pemantauan dan pemeriksaan kenderaan berpendaftaran asing bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang kawalan barang bersubsidi negara.

Beliau berkata kerjasama strategik itu antaranya turut melibatkan integrasi sistem VEP dan Automatic Number Plate Recognition (ANPR) yang membolehkan pengesanan secara masa nyata terhadap kenderaan asing.

ā€œMelalui integrasi ini data kenderaan termasuk profil pemilik dan rekod perjalanan dapat dikongsi secara  bersepadu antara agensi, sekali gus meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan keupayaan mengesan penyalahgunaan subsidi,ā€ katanya.
 
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita