Kotak hitam pesawat Jeju Air henti rakam 4 minit sebelum rempuhan
Data penerbangan dan alat perakam suara kokpit dalam pesawat Jeju Air yang terhempas pada 29 Disember lalu berhenti merakam sekitar empat minit sebelum ia merempuh sebuah struktur konkrit di Lapangan Terbang Muan.
Kementerian Pengangkutan Korea Selatan menyatakan pihak berkuasa yang menyiasat nahas pesawat itu merancang untuk meneliti apa yang menyebabkan kotak hitam terbabit berhenti merakam.
Alat perakam suara tersebut pada awalnya diperiksa di Korea Selatan.
Namun apabila data didapati hilang, ia dihantar pula ke makmal Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara Amerika.
Pesawat Jeju Air 7C2216 yang berlepas dari ibu kota Bangkok, Thailand, menuju ke Muan di barat daya Korea Selatan, keluar landasan ketika mendarat di lapangan terbang lalu meletup selepas merempuh sebuah struktur konkrit.
Juruterbang pesawat melaporkan kepada pihak kawalan trafik udara bahawa pesawat itu terlanggar beberapa ekor burung dan mengisytiharkan keadaan darurat kira-kira empat minit sebelum pesawat terhempas.
Dua anak kapal yang duduk di bahagian belakang pesawat berjaya diselamatkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.