Kos PRU15, PRK DUN Bugaya cecah RM1 bilion

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh (Gambar: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, memerlukan peruntukan dianggarkan berjumlah RM1.01 bilion (S$305 juta), kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh.
Beliau berkata seramai 363,515 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 dan PRK DUN Bugaya manakala sebanyak 8,958 pusat mengundi biasa, yang mengandungi 38,348 tempat mengundi dan saluran, serta 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 970 tempat mengundi dan saluran awal akan digunakan.
"Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 9,536 dengan 39,318 tempat mengundi dan saluran," katanya di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di Menara SPR di Putrajaya pada Khamis (20 Okt).
Encik Abdul Ghani berkata SPR sudahpun melantik 222 pegawai pengurus pilihan raya, dibantu oleh 1,264 penolong pegawai pengurus bagi menjalankan proses PRU15 dan PRK DUN Bugaya.
"Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding," katanya.
Beliau berkata sebanyak 222 pusat penamaan calon (PPC) dan 222 pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan.
Encik Abdul Ghani berkata SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU15 PRK DUN Bugaya agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri seluruh negara sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan, iaitu pada Sabtu (5 Nov), bagi memudahkan proses penamaan calon.
Selain itu, beliau berkata bakal-bakal calon juga digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal bagi memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.
"Bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR," katanya.
Menurut Encik Abdul Ghani, SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi penstriman langsung bagi pusat dan saluran mengundi yang terpilih di laman Facebook SPR, seperti yang dilaksanakan semasa pilihan raya sebelum ini.
Beliau menambah SPR juga menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mana-mana badan yang berminat menjadi pemerhati pilihan raya untuk melihat perjalanan proses PRU15 bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.
"Permohonan untuk menjadi pemerhati pilihan raya telah dibuka pada 11 Oktober 2022 dan akan ditutup pada 21 Oktober 2022," katanya.
Beliau berkata pihak yang berminat dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi. Merek juga perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantikan yang ditetapkan oleh SPR.
Encik Abdul Ghani berkata bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi, SPR akan melaksanakan kempen 'Jom Kita Undi' melalui pelbagai saluran media termasuk menerusi media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam selain tempat-tempat lain yang bersesuaian.
SPR pada Khamis (20 Okt) mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi PRU15 dan PRK DUN Bugaya iaitu tarikh keluar writ pada Khamis (20 Okt), hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu (5 Nov), hari mengundi awal pada Selasa (15 Nov) dan hari mengundi pada Sabtu (19 Nov).
PRU15 melibatkan 222 kerusi Dewan Rakyat serta 42 kerusi DUN Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi DUN Perak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.