Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kos pembiayaan iklim melonjak tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
SHARM EL-SHEIKH: Para pemimpin dunia yang menghadiri sidang puncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), COP27 di Mesir membincangkan masa depan daya tenaga, keselamatan bekalan air serta cara untuk membantu amalan kemampanan negara-negara yang lebih terjejas dengan perubahan iklim.

Satu laporan yang dikeluarkan sempena sidang puncak tersebut menunjukkan bahawa negara-negara membangun memerlukan AS$1 trilion (S$1.4 trilion) setiap tahun bagi pembiayaan iklim menjelang tahun 2030.

Laporan hasil kajian yang dijalankan negara tuan rumah Mesir dan Britain menunjukkan bahawa pembiayaan dana diperlukan untuk mengurangkan pelepasan gas, meningkatkan daya tahan dan menangani kemusnahan akibat perubahan iklim.

Ia juga mendedahkan bahawa jumlah pelaburan tahunan yang diperlukan bagi negara membangun akan mencecah AS$2.4 trilion (S$3.4 trilion) menjelang tahun 2030 dan separuh daripadanya akan datang daripada pembiayaan luar.

Yang lain pula akan dibiayai sumber-sumber awam dan juga swasta di negara-negara tersebut.

Pelaburan buat masa sekarang berada pada kadar AS$500 juta (S$701 juta).

Sementara itu, semasa ucapan pembukaannya, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memberi amaran keras kepada para pemimpin dunia agar bekerjasama atau menghadapi kemusnahan.

Beliau juga menggesa para pemimpin untuk mempercepatkan peralihan kepada penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui sedang dunia hampir kalah dalam pertarungan iklim.

"Manusia mempunyai pilihan - untuk bekerjasama atau menghadapi kemusnahan. Ia sama ada pakatan perpaduan berhubung iklim atau pakatan bunuh diri bersama," kata Encik Guterres.

Mantan Naib Presiden Amerika Syarikat dan juga tokoh yang memperjuangkan alam sekitar Al Gore juga membuat rayuan serupa kepada para pemimpin untuk menamatkan penggunaan bahan api fosil.

Isu berhubung pembiayaan iklim kekal menjadi tumpuan utama pada hari pertama sidang puncak COP27.

Perdana Menteri Britain yang baru dilantik, Rishi Sunak, berikrar negaranya akan menunaikan komitmen 11.6 bilion Pound Sterling (S$18.7 bilion) berhubung pembiayaan iklim meskipun menghadapi masalah ekonomi sendiri.

Beliau juga mengumumkan sokongan tambahan 1.5 bilion Pound Sterling (S$2.4 bilion) bagi sebarang penyesuaian.
Sumber : Agensi berita/IA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan