Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kos lebih dimampui dorong pesakit luar negara termasuk warga SG dapatkan rawatan dari hospital swasta Johor

Anggaran Waktu Membaca:
Kos lebih dimampui dorong pesakit luar negara termasuk warga SG dapatkan rawatan dari hospital swasta Johor

Gambar: Hospital Gleneagles Medini


JOHOR BAHRU: Apabila pemilik restoran Jason Grantino mengalami kecederaan ligamen 'anterior cruciate' (ACL) pada September lalu tatkala bermain bola keranjang, antara perkara pertama yang dilakukan penduduk Batam itu adalah untuk menempah tiket feri ke Johor.

Sekalipun perlu menahan kesakitan di lutut kirinya, warga Indonesia berusia 32 tahun itu dibawa menerusi terminal feri dengan menggunakan kerusi roda dan duduk sepanjang perjalanan selama 90 minit dari Batam ke Stulang Laut di Johor Bahru.

Encik Grantino ketika itu sedang menuju ke Hospital Pakar Regency, sebuah prasarana jagaan kesihatan swasta yang terletak berdekatan dengan Pasir Gudang. Beliau sudah beberapa kali mengunjungi hospital itu bagi menjalani pemeriksaan tahunannya.

Hospital tersebut menghantar sebuah bas untuk menjemput Encik Grantino dari terminal feri itu dan prosedur pembinaan semula ACL itu selesai dijalankan pada keesokan harinya.

Encik Grantino memberitahu Mediacorp bahawa beliau sanggup mengharungi ketidakselesaan dan bersusah payah melakukan perjalanan rentas sempadan semata-mata untuk mendapatkan rawatan di Johor.

"Ia adalah tentang kepercayaan. Saya mempercayai Hospital (Pakar) Regency dan saya mahu melakukan pembedahan ACL di Regency," ujarnya.

Encik Grantino berkongsi bagaimana sesetengah ahli keluarganya berdepan dengan pengalaman ngeri ketika menjalani prosedur perubatan di Batam. Itulah sebabnya beliau enggan mengambil risiko untuk menjalani sebarang rawatan yang dilakukan dengan cuai.

Disebabkan harga rawatan yang dimampui serta prasarana yang canggih, Johor kian menjadi destinasi tumpuan pelancongan perubatan. Bagaimanapun, kekurangan jururawat menimbulkan kekangan yang berpotensi, menurut mereka yang ditemu ramah oleh CNA.

JUMLAH PESAKIT ANTARABANGSA MELONJAK PASCA-PANDEMIK

Sepanjang dua dekad lalu, bilangan hospital swasta semakin meningkat di kawasan Iskandar Malaysia. Beberapa hospital tersebut menawarkan prasarana perubatan canggih dan sudah menarik pesakit dari Indonesia, Singapura serta China.

Menurut hospital swasta yang ditemu bual Mediacorp, sebilangan besar pelancong perubatan mengunjungi Johor bagi mendapatkan rawatan
ortopedik, perbidanan dan sakit puan, persenyawaan in-vitro (IVF) serta rawatan barah.

Ketua Eksekutif Hospital Pakar Regency Serena Yong memberitahu Mediacorp bahawa hospital tersebut merawat sekitar 200,000 pesakit setiap tahun. Beliau menarik perhatian bahawa 15 sehingga 20 peratus daripada mereka adalah pesakit dari luar negara. Jumlah itu, katanya, merupakan "kenaikan yang ketara" daripada waktu sebelum COVID.

"Kami menyaksikan jumlah pesakit dari luar negara yang melonjak sejak kebelakangan ini sehingga menjangkaui paras sebelum pandemik. Kami malah menyaksikan lebih ramai warga Singapura serta Indonesia dan ini amat memberangsangkan," ungkap Cik Yong.

KOS LEBIH RENDAH UNTUK SESETENGAH RAWATAN

Apabila ditanya apakah faktor terbesar yang menarik pesakit dari luar negara, para pesakit dan doktor mengatakan bahawa ia adalah disebabkan rawatan yang lebih dimampui dalam bidang-bidang seperti barah, ortopedik dan perbidanan.

Kedudukan geografi Johor. yang boleh diakses oleh kedua-dua penduduk negara jiran Singapura dan Indonesia, juga memberi negeri tersebut kelebihan dari segi sektor pelancongan perubatan.

Norfadzilla Rahmat, seorang warga Singapura yang sedang hamil empat bulan, memberitahu Mediacorp bahawa beliau sudah membeli pakej pemeriksaan pra-natal dengan Hospital Columbia Asia Tebrau, iaitu sebuah hospital swasta yang terletak hanya kira-kira 10 minit perjalanan kereta dari Koswe Woodlands.

Beliau memberitahu Mediacorp bahawa pakej tersebut - yang termasuk 10 pemeriksaan, konsultasi dan pemeriksaan ultrabunyi - berharga sekitar RM2,400 (S$705).

"Beberapa hospital swasta di Singapura mengenakan kos tiga kali lebih tinggi daripada jumlah tersebut (bagi jenis perkhidmatan yang serupa) jadi saya rasa saya telah membuat pilihan yang baik," ujar Cik Norfadzilla, 30 tahun.


Meskipun terdapat usaha untuk memperhebatkan tawaran pelancongan perubatan di Johor, isu yang mungkin memberi kesan terhadap rancangan tersebut adalah kekurangan pada jumlah jururawat.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan