Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Koronavirus mungkin merebak ke manusia daripada kelawar melalui 'haiwan perantara': laporan WHO

Pasukan pakar antarabangsa yang telah ke Wuhan Januari lalu memutuskan besar kemungkinan COVID-19 merebak ke manusia daripada kelawar melalui haiwan perantara. Ia juga menolak berlakunya pembocoran virus dari makmal.

Anggaran Waktu Membaca:
Koronavirus mungkin merebak ke manusia daripada kelawar melalui 'haiwan perantara': laporan WHO

Pasukan pakar antarabangsa ke Wuhan memutuskan besar kemungkinan COVID-19 merebak ke manusia daripada kelawar melalui haiwan perantara. (Gambar Fail: MTV Documentary Films menerusi AP)

Diterbitkan : 29 Mar 2021 08:41PM Dikemas Kini : 29 Mar 2021 08:47PM

GENEVA: Pasukan pakar antarabangsa yang telah ke Wuhan Januari lalu memutuskan besar kemungkinan COVID-19 merebak ke manusia daripada kelawar melalui haiwan perantara. Ia juga menolak berlakunya pembocoran virus dari makmal.

Kesimpulan itu disifatkan sebagai di tahap "mungkin hingga sangat mungkin", manakala teori yang mana virus tersebut terlepas dari makmal disifatkan sebagai "kemungkinan besar tidak terjadi" menurut laporan yang sudah lama dinanti-nantikan itu, yang diperoleh AFP pada Isnin (29 Mac).

Laporan daripada misi antarabangsa ke Wuhan itu sudah lama dinanti-nantikan sejak pasukan pakar berkenaan meninggalkan China lebih sebulan lalu.

Kelengahan dalam penerbitan penemuan itu, yang dilakarkan dengan kerjasama rakan-rakan kerja mereka di China, dikatakan berpunca daripada masalah penterjemahan dan penyelarasan, meski timbul ketegangan diplomatik mengenai isi kandungan laporan tersebut.

Dalam satu sidang media di Wuhan pada 9 Feb, para pakar dan rakan kerja mereka di China menekankan mereka masih belum dapat merungkaikan sepenuhnya asal usul virus COVID-19.

Namun, para pakar percaya virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan penyakit COVID-19 berpunca daripada kelawar.

Satu teori ialah virus tersebut merebak langsung daripada kelawar kepada manusia. Laporan terakhir berkenaan menetapkan senario tersebut sebagai sesuatu yang "mungkin" berlaku.

Laporan itu juga mendapati senario yang lebih dipercayai boleh berlaku ialah virus tersebut merebak daripada kelawar ke haiwan lain yang kemudiannya menjangkiti manusia.

"Meskipun virus yang paling berkait rapat ditemui dalam kelawar, jarak perubahan yang dilalui virus ini dan SARS-CoV-2 dianggarkan mengambil tempoh buat dekad, lantas mencadangkan ada kaitan yang hilang," menurut laporan itu.

"Senario yang termasuk virus itu merebak menerusi haiwan lain dianggap berada pada paras kemungkinan hingga kemungkinan besar," menurut laporan tersebut, walaupun ia tidak menyatakan haiwan mana yang membolehkan virus itu merebak ke manusia.

Namun, laporan itu tidak menolak kemungkinan penularan virus berlaku menerusi daging beku – teori kegemaran Beijing. Ini memandangkan virus itu didapati dapat bertahan dalam suhu amat sejuk, lantas "penularan menerusi produk rantaian makanan atau produk sejuk dianggap satu kemungkinan".

Akhir sekali, laporan tersebut mengkaji kemungkinan berlaku pembocoran dari makmal, misalnya, Institut Virologi Wuhan - satu teori yang disokong oleh pentadbiran Donald Trump, bekas presiden Amerika Syarikat.

Ia menarik perhatian kepada hakikat bahawa tidak wujud dalam catatan sebarang virus yang serupa dengan SARS-CoV-2 di mana-mana makmal sebelum Disember 2019, dan menekankan kadar keselamatan tinggi di makmal-makmal Wuhan.

"Punca pandemik dari makmal dianggap kemungkinan besar tidak terjadi," menurut laporan tersebut. 

Sumber : AFP/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan