Korea Utara uji dron berteknologi AI
Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menyelia ujian dron dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan berkata bahawa dron dan keupayaan AI mesti menjadi keutamaan negara itu dalam penghasilan senjata moden, lapor media rasmi negara tersebut pada Khamis (27 Mac).
Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un memantau ujian dron yang dilengkapi keupayaan AI. (Gambar: Reuters/KCNA)
Encik Kim juga memeriksa dron peninjau baharu yang dinaik taraf yang berupaya mengesan pelbagai sasaran taktikal dan aktiviti musuh di darat dan laut, lapor agensi berita KCNA.
"Bidang dron dan kecerdasan buatan harus diutamakan dan dibangunkan bagi memodenkan angkatan tentera kita," KCNA memetik Encik Kim sebagai berkata.
Beliau turut menekankan betapa pentingnya untuk mempertingkatkan program jangka panjang bersepadu untuk berada di barisan hadapan bagi mempercepatkan persaingan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) untuk kegunaan tentera, menurut KCNA.
Encik Kim secara berasingan memeriksa peralatan yang baru dibangunkan untuk peninjauan, pengumpulan maklumat risikan, gangguan elektronik dan sistem serangan, kata KCNA.
Gambar-gambar yang diterbitkan oleh media rasmi menunjukkan UAV sayap tetap menyasarkan serangan ke atas kereta kebal yang kemudian meletup. Encik Kim dilihat berjalan dengan para pegawai kanannya dengan apa yang kelihatan seperti dron lebih besar berbanding jet pejuang biasa yang diletakkan di atas sebuah landasan.
Korea Utara semakin aktif membangunkan dron termasuk peluru 'kamikaze'. Projek itu disyaki menjadi sebahagian daripada kerjasama ketenteraan yang semakin meningkat antara Korea Utara dan Rusia sepanjang tahun lalu.
Tentera Korea Utara yang ditempatkan dalam perang Rusia menentang Ukraine dipercayai terlibat dalam peperangan dron, memperoleh pengalaman medan pertempuran yang berharga bagi tentera negara tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.