Skip to main content

Dunia

Korea Utara tegaskan status negara nuklearnya 'tidak boleh diubah'

Korea Utara menyatakan pada Ahad (14 Jun) bahawa statusnya sebagai sebuah negara bersenjata nuklear "tidak boleh diubah", dan penting untuk menjamin kestabilan serantau, sekali gus menolak gesaan Amerika Syarikat dan sekutunya agar negara tersebut melaksanakan pelucutan senjata nuklear.

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Utara tegaskan status negara nuklearnya 'tidak boleh diubah'

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menyelia ujian pelancaran gabungan peluru berpandu balistik taktikal, roket artileri dan peluru berpandu kruis berketepatan tinggi di lokasi yang tidak didedahkan di Korea Utara dalam gambar yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA). (Gambar fail: REUTERS menerusi KCNA)

Diterbitkan : 14 Jun 2026 10:40AM
SEOUL: Korea Utara menyatakan pada Ahad (14 Jun) bahawa statusnya sebagai sebuah negara bersenjata nuklear "tidak boleh diubah", dan penting untuk menjamin kestabilan serantau, sekali gus menolak gesaan Amerika Syarikat dan sekutunya agar negara tersebut melaksanakan pelucutan senjata nuklear.

Pyongyang berulang kali menegaskan bahawa ia tidak akan melucutkan senjata nuklearnya, yang disifatkan sebagai elemen penting bagi tujuan pencegahan. Awal bulan ini, Kim Yo Jong, adik perempuan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un yang berpengaruh, menyifatkan dasar tersebut sebagai "dasar yang tidak boleh dibalikkan".

Kenyataan Korea Utara itu dibuat selepas mesyuarat tiga hala antara Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat di Tokyo pada Jumaat, di mana ketiga-tiga sekutu itu menegaskan semula komitmen mereka terhadap "pelucutan senjata nuklear sepenuhnya di Semenanjung Korea", menurut Kementerian Luar Korea Selatan.

"Retorik tidak bermakna oleh Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa bawahannya terhadap DPRK ... tidak akan sekali-kali menjejaskan kedudukan DPRK sebagai negara bersenjata nuklear yang tidak boleh diubah," kata seorang jurucakap yang tidak dinamakan dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada Ahad, menggunakan singkatan nama rasmi Korea Utara.

"Isu 'pelucutan senjata nuklear' merupakan perkara yang telah dimuktamadkan dan tidak boleh diubah," tambah pegawai tersebut.

Jurucakap itu turut merujuk kepada penjualan sistem persenjataan Amerika Syarikat kepada Seoul dan Tokyo sebagai sebab bagi usaha Pyongyang membangunkan program nuklearnya, sambil menyifatkannya sebagai "jaminan keselamatan yang kukuh demi kestabilan dan keamanan serantau".

"Walau apa pun yang diperkatakan oleh Amerika Syarikat, Jepun dan ROK, mereka tidak akan dapat mengubah kedudukan semasa DPRK sebagai negara bersenjata nuklear," kata pegawai itu, merujuk kepada Korea Selatan menggunakan singkatan nama rasminya.

Korea Utara mempercepatkan pembangunan program senjata nuklearnya sejak rundingan dengan Washington gagal pada 2019, dengan sidang puncak antara Encik Kim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Hanoi berakhir tanpa sebarang persetujuan.

Kemungkinan merujuk kepada rundingan yang gagal itu, jurucakap berkenaan berkata "tiada sesiapa dapat mengembalikan semula isu 'pelucutan senjata nuklear' yang telah terlepas buat selama-lamanya mengikut arus zaman".

Encik Kim baru-baru ini menerima kunjungan Presiden China Xi Jinping di Pyongyang, selepas pemimpin China itu mengadakan sidang puncak berturut-turut di Beijing bersama Encik Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Menurut laporan media rasmi kedua-dua negara, tiada sebarang rujukan dibuat mengenai pelucutan senjata nuklear semasa pertemuan tersebut.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita