Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Korea Utara tegaskan senjata nuklearnya bukan untuk rundingan Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Utara tegaskan senjata nuklearnya bukan untuk rundingan Amerika

Gambar yang diambil pada 12 Jul 2023 dan dikeluarkan Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) pada 13 Jul 2023 menunjukkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) baharu "Hwasong-18". (Gambar: STR / KCNA VIA KNS / AFP)

Diterbitkan : 08 Feb 2025 02:41PM Dikemas Kini : 08 Feb 2025 02:43PM
KOREA UTARA: Korea Utara menyatakan hari ini (8 Feb) bahawa senjata nuklearnya bukanlah untuk dirundingkan.

Sebaliknya ia bertujuan untuk kegunaan tempur terhadap musuh yang mengancam rakyat dan keamanan dunia, lapor media negara itu.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas Presiden Amerika Donald Trump menerima Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba di Rumah Putih semalam (7 Feb).

Kedua-dua pemimpin tersebut menyatakan komitmen mereka untuk memastikan Korea Utara mengakhiri program senjata nuklearnya.

Pihak media KCNA tidak menyebutkan pertemuan antara pemimpin Amerika dan Jepun itu, sebaliknya memetik kenyataan yang dilaporkan oleh pegawai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah yang mengulangi tuntutan bagi gencatan nuklear sepenuhnya di Korea Utara.

“Kami tegaskan sekali lagi dengan jelas: Senjata nuklear kami bukan sebentuk iklan untuk mendapatkan pengiktirafan sesiapa, apatah lagi sebagai alat tawar-menawar yang boleh ditukar dengan wang," kata KCNA dalam satu kenyataan.

"Kekuatan nuklear kami adalah untuk kegunaan tempur yang teguh, bagi menghapuskan dengan pantas sebarang cubaan oleh musuh yang mencabuli kedaulatan negara kami, keselamatan rakyat kami, serta mengancam keamanan dunia," tambahnya.

Korea Utara belum memberi maklum balas secara langsung terhadap usaha Trump untuk menyambung semula hubungan dengan pemimpinnya, Kim Jong Un. Sebaliknya, Pyongyang menegaskan niatnya untuk terus "memperkukuh" keupayaan nuklearnya.

Semalam, Trump berkata bahawa beliau "akan menjalinkan hubungan dengan Korea Utara dan Kim Jong Un", sambil menekankan bahawa beliau mempunyai hubungan baik dengan pemimpin tersebut. Kedua-dua mereka pernah mengadakan sidang kemuncak bersejarah semasa penggal pertama Trump sebagai presiden.

Pada 20 Januari, ketika upacara pelantikannya bagi penggal kedua, Trump menyebut Korea Utara sebagai "kuasa nuklear," menimbulkan persoalan sama ada beliau akan meneruskan perundingan pengurangan senjata atau pelucutan senjata nuklear.

"Kedua-dua pemimpin menyatakan kebimbangan serius mereka terhadap program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara serta menegaskan komitmen tegas mereka terhadap pelucutan senjata nuklear sepenuhnya di Korea Utara," menurut kenyataan bersama Trump dan Ishiba selepas pertemuan mereka.
Sumber : Reuters/AZ/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan