Korea Utara sahkan penularan pertama COVID-19

(Gambar: Kim Won Jin/AFP)
SEOUL: Korea Utara mengesahkan secara rasmi penularan jangkitan COVID-19 yang pertama di negara itu pada Khamis (12 Mei).
Media tempatan melaporkan bahawa jujukan baru virus Omicron yang mudah berjangkit, dikenali sebagai BA.2, sudahpun dikesan di Pyongyang.
"Terdapat insiden kecemasan terbesar di negara ini, yang membebankan kuarantin kecemasan, selepas berjaya mengekang penularan virus itu sepanjang dua tahun dan tiga bulan lalu sejak Februari 2020," menurut media tempatan.
Laporan tersebut juga menyatakan penduduk di Pyongyang dijangkiti varian Omicron tersebut, tanpa memberikan sebarang perincian tentang jumlah kes jangkitan atau kemungkinan sumber jangkitan.
Pada masa yang sama, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pada Khamis berikrar untuk "menangani" penularan COVID-19 tersebut dan mengisytiharkan bahawa negara itu akan melaksanakan sistem kawalan kuarantin "kecemasan tertinggi" untuk membendung penularan virus.
Agensi berita rasmi KCNA melaporkan bahawa semasa mesyuarat tergempar bersama politburo, Encik Kim berkata "sasarannya adalah untuk menghapuskan punca penularan jangkitan dalam tempoh yang paling singkat".
"Beliau meyakinkan kami bahawa oleh kerana kesedaran politik yang tinggi dalam kalangan penduduk, kami pasti akan menangani kecemasan ini dan berjaya melaksanakan projek kuarantin kecemasan ini," lapor KCNA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.