Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Korea Utara sahkan kematian pertama COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Utara sahkan kematian pertama COVID-19

(Gambar: STR/KCNA via KNS/AFP)

Diterbitkan : 13 May 2022 11:02AM Dikemas Kini : 13 May 2022 11:02AM

SEOUL: Korea Utara mengesahkan kematian pertama akibat COVID-19 pada Jumaat (13 Mei), dengan menyatakan demam merebak begitu pantas di seluruh negara. Pyongyang menyatakan puluhan ribu orang sedang menjalani pengasingan dan  dirawat selepas jatuh sakit.

Negara nuklear itu yang hanya melaporkan kes pertama COVID-19 di negara tersebut pada Khamis, menyatakan ia sedang beralih ke "sistem pencegahan wabak kecemasan maksimum" selepas pesakit yang sakit di ibu kota Pyongyang diuji positif bagi varian Omicron.

Korea Utara berada di bawah sekatan koronavirus yang ketat sejak permulaan pandemik pada 2020, tetapi dengan penularan Omicron yang besar di semua negara jirannya, pakar berkata negara itu hanya menunggu masa sebelum dilanda COVID.

"Jenis demam yang tidak dapat dikenal pasti puncanya merebak pantas ke seluruh negara mulai akhir April," kata agensi berita rasmi negara itu, KCNA.

"Enam orang meninggal dunia (seorang daripada mereka diuji positif bagi sub-varian BA.2 Omicron)," tambahnya.

Dengan 25 juta penduduk negara itu tidak diberi vaksin terhadap COVID, infrastruktur kesihatan Korea Utara yang lemah akan bergelut untuk menangani penularan yang besar, kata pakar.

"Pada 12 Mei sahaja, kira-kira 18,000 orang mengalami demam di seluruh negara dan sehingga kini sehingga 187,800 orang sedang diasingkan dan dirawat," kata KCNA.

Pemimpin Kim Jong Un dilihat memakai pelitup di saluran TV negara buat pertama kalinya, menyelia mesyuarat tergempar Politbiro pada Khamis dan mengarahkan sekatan di seluruh negara dalam usaha untuk menghentikan penyebaran virus itu.

Pada Jumaat, Encik Kim dilaporkan melawat ibu pejabat pencegahan wabak kecemasan dan "dimaklumkan tentang penularan COVID-19 di seluruh negara".

PERARAKAN TENTERA

Penularan COVID-19 di seluruh negara itu kemungkinannya dikaitkan dengan perarakan tentera besar-besaran yang diadakan di Pyongyang pada 25 April, kata Cheong Seong-chang dari Institut Sejong.

Korea Utara mungkin akan mengalami "gangguan besar" berikutan penularan pesat Omicron, tambah beliau memandangkan negara itu kini melaporkan hampir 20,000 sehari.

"Jika angka kematian akibat Omicron meningkat, Pyongyang mungkin perlu meminta sokongan China," tambahnya.

Beijing, satu-satunya sekutu Pyongyang, berkata pada Khamis bahawa ia bersedia membantu Korea Utara menangani pandemik COVID-19.

Bagaimanapun China, satu-satunya ekonomi utama dunia yang masih mengekalkan dasar sifar-COVID, sendiri sedang memerangi pelbagai penularan Omicron -- dengan beberapa bandar utama, termasuk hab kewangan Shanghai, di bawah perintah berkurung yang ketat.

Korea Utara sebelum ini  menolak tawaran vaksin COVID dari China, serta  skim Covax Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Sumber : AFP/SU/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa