AS, Korea Utara runding lokasi sidang puncak kedua
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata rundingan sedang dijalankan bagi menentukan lokasi sidang puncak kedua antara beliau dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. (Gambar: Nicholas Kamm, Saul Loeb/AFP)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata rundingan sedang dijalankan bagi menentukan lokasi sidang puncak kedua antara beliau dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
Presiden Trump menambah kedua-dua pihak sedang "berdialog dengan baik" dan beliau sendiri sudah bercakap secara tidak langsung dengan Encik Kim.
Menurut Presiden Trump, mereka sedang merundingkan satu lokasi dan akan diumumkan tidak lama lagi.
Mereka katanya sudah menjelaskan kepada media, mahu berjumpa tetapi sekatan-sekatan ke atas Pyongyang tambah Presiden Trump, akan kekal sehingga mereka ada bukti positif.
Dengan Washington enggan berganjak tentang isu sekatan manakala Pyongyang mahukan konsesi sedang ia mula memansuhkan program nuklearnya, masih belum jelas apa kemajuan yang boleh dicapai jika kedua-dua pemimpin bertemu lagi.
Kali pertama mereka berjumpa adalah pada Jun tahun lalu di Singapura.
Meskipun Korea Utara berikrar untuk melucutkan program nuklearnya, belum ada perjanjian mengenai cara ia harus dijalankan.
Sementara itu, Korea Selatan menyeru kedua-dua pihak mengambil langkah-langkah menamatkan kebuntuan.
Menurut penasihat kepada Presiden Korea Selatan, satu jalan keluar mungkin tercapai jika Korea Utara mengambil "tindakan berani" dan Amerika Syarikat mengurangkan sekatannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.