Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Korea Utara mahu PBB kurangkan bantuan jika ‘tidak ikhlas’

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa pihaknya sedang berunding dengan Korea Utara berhubung kehadiran bantuannya yang menurut Pyongyang sering dipolitikkan dan mahu ia dikurangkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Utara mahu PBB kurangkan bantuan jika ‘tidak ikhlas’

Bendera Korea Utara. (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 06 Sep 2019 10:15AM Dikemas Kini : 06 Sep 2019 10:18AM

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa pihaknya sedang berunding dengan Korea Utara berhubung kehadiran bantuannya yang menurut Pyongyang sering dipolitikkan dan mahu ia dikurangkan.

Bulan lalu, Korea Utara menghantar surat meminta PBB supaya mengurangkan pelibatannya dengan negara itu, kata jurucakap PBB Stephane Dujarric di satu sidang media.

Surat itu antara lain meminta pengurangan bantuan itu dibuat sebelum hujung tahun ini dan ia dikirimkan sedang perbincangan mengenai pelucutan program nuklear dengan Washington menemui jalan buntu.

“Program-program yang diterajui PBB gagal memberikan keputusan yang diinginkan kerana bantuan PBB dipolitikkan oleh pihak-pihak yang mempertikaikannya,” kata seorang pegawai Korea Utara, Kim Chang Min.

“Lebih-lebih lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bantuan PBB di negara ini dikurangkan dengan ketara dan penghantaran bekalan kerap ditangguhkan, sehingga banyak memberi kesan kepada keseluruhan pelaksanaan projek-projek PBB.”

Amerika Syarikat mengambil inisiatif mengenakan tiga sekatan antarabangsa pada 2017 yang menyasarkan ekonomi Korea Utara.

Langkah-langkah itu bertujuan membendung program senjata nuklear dan peluru berpandu balistik negara tersebut, namun PBB memberikan pengecualian bagi barangan yang berkaitan dengan bantuan kemanusiaan.

PBB mempunyai puluhan kakitangannya di Korea Utara, kebanyakannya berkhidmat untuk Program Makanan Dunia, Program Pembangunan PBB dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Korea Utara berdepan krisis makanan kronik dan mencatatkan hasil tuaian paling rendah dalam tempoh sedekad pada tahun lalu.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan