Korea Utara lancar peluru berpandu balistik ke luar pantai timurnya
SEOUL: Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik dari ibu negaranya, Pyongyang, ke arah laut di luar pantai timurnya sekitar pukul 7.50 pagi waktu tempatan pada Ahad (4 Jan), kata tentera Korea Selatan.
Pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara yang pertama dalam tempoh dua bulan berlaku sedang Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung berangkat bagi melakukan lawatan negara ke China pada Ahad, di mana Seoul akan membincangkan keamanan di semenanjung Korea.
"Tentera kami mengukuhkan pengawasan dan kewaspadaan sebagai persediaan untuk pelancaran selanjutnya," kata Ketua Turus Bersama dalam kenyataannya, sambil menambah bahawa ia sedang berkongsi maklumat dengan Amerika Syarikat dan Jepun.
Peluru berpandu itu dipercayai sudahpun gugur, menurut Kementerian Pertahanan Jepun.
Kali terakhir Pyongyang menguji peluru berpandu balistiknya adalah pada bulan November.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, menggesa kapasiti pengeluaran senjata berpandu taktikal dinaikkan lebih seganda dalam lawatan terbaharunya ke kilang peluru pada Sabtu (3 Jan), lapor media rasmi pemerintah Korea Utara.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Encik Kim membuat beberapa lawatan ke kilang-kilang yang membuat senjata, serta meninjau kapal selam berkuasa nuklear, dan menyelia ujian peluru berpandu menjelang Kongres Parti Buruh yang kesembilan tahun ini untuk menetapkan matlamat dasar utama.
Presiden China, Xi Jinping, akan menjadi tuan rumah kepada Encik Lee dalam lawatan negara bermula Ahad.
Wi Sung-lac, penasihat keselamatan Encik Lee, berkata Seoul menjangkakan Beijing akan memainkan peranan dalam menggalak keamanan di semenanjung Korea, tanpa mendedahkan butiran agenda sidang puncak itu.
Agenda Encik Lee dengan Encik Xi termasuk memujuk China untuk memudahkan dialog dengan Korea Utara, kata pakar.
Dalam rundingan pada bulan November, Encik Lee meminta Encik Xi untuk berusaha lebih gigih bagi memujuk Korea Utara untuk kembali berbincang.
Encik Wi menambah bahawa semasa sidang puncak pada Isnin, Encik Lee dan Encik Xi akan mengadakan "rundingan mendalam mengenai cara-cara substantif" untuk menangani isu-isu keselamatan dan ekonomi yang dihadapi oleh kedua-dua negara.
Menjelang lawatannya, Encik Lee menemu bual badan penyiaran negara China, CCTV, di mana beliau berkata bahawa beliau berharap orang ramai akan memahami bahawa pemerintahnya mengambil berat tentang hubungan antara Beijing dengan Seoul.
Encik Lee berkata kerjasama Seoul dengan Amerika, iaitu sekutu ketenteraannya, tidak bermakna hubungan Korea Selatan-China harus menuju ke arah konfrontasi, lapor CCTV.
Beliau mengakui bahawa salah faham masa lalu antara negaranya dan China menghalang hubungan dua hala.
"Lawatan ke China ini bertujuan untuk mengurangkan atau menghapuskan salah faham atau percanggahan masa lalu ini, untuk meningkatkan dan membawa hubungan Korea Selatan-China ke peringkat baharu," kata beliau, seperti ditukil CCTV.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.