Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Korea Utara lancar 2 peluru berpandu;ancam tindak balas terhadap sekatan AS

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Utara lancar 2 peluru berpandu;ancam tindak balas terhadap sekatan AS

Laporan televisyen di Seoul tentang ujian peluru Korea Utara pada 14 Januari 2022. (Gambar: Anthony Wallace/AFP)

Diterbitkan : 14 Jan 2022 05:29PM Dikemas Kini : 14 Jan 2022 05:29PM

SEOUL: Korea Utara melancarkan sekurang-kurangnya dua peluru berpandu balistik hari ini (14 Jan).

Ini merupakan ujian ketiga dalam tempoh dua minggu dan berlaku beberapa jam selepas Amerika Syarikat (AS) mengusulkan sekatan-sekatan baru terhadap pelancaran-pelancaran lalu yang dianggap sebagai "provokasi".

Menurut Ketua Turus Bersama Korea Selatan, pihaknya mengesan apa yang disyaki adalah dua peluru berpandu balistik jarak dekat (SBRM) yang dilancarkan dari bahagian timur wilayah Pyongan Utara di pantai barat Korea Utara. 

Pengawal pantai Jepun turut melaporkan bahawa Korea Utara melancarkan apa yang disifatkan sebagai peluru berpandu balistik. Peluru berpandu tersebut gugur di laut di luar zon ekonomi eksklusif Jepun, lapor stesen penyiaran NHK, yang menukil seorang pegawai dari kementerian pertahanan Jepun yang identitinya tidak didedahkan.

Pelancaran itu adalah yang ketiga sejak Tahun Baru, dengan ia dilakukan pada rentak yang luar biasa tingginya. 

Dua pelancaran lalu melibatkan "peluru berpandu hipersonik" yang berkelajuan tinggi dan boleh dikemudikan selepas ia dilancarkan, lapor media tempatan Korea Utara.

Berbanding dengan pelancaran hari ini, setiap pelancaran awal itu melibatkan satu peluru berpandu yang dilancarkan dari wilayah Jagang, yang terletak bersebelahan dengan Pyongan Utara. 

Kim Dong-yup, bekas pegawai tentera laut Korea Selatan yang mengajar di Universiti Kyungnam di Seoul, berkata Korea Utara mungkin melancarkan SRBM seperti KN-23 atau KN-24 yang dilancarkannya sebelum ini. 

Korea Utara bagaimanapun mempertahankan pelancaran peluru berpandu itu sebagai haknya yang sah untuk melindungi kedaulatannya dan ia menuduh Amerika Syarikat sengaja mengeruhkan keadaan dengan mengenakan sekatan-sekatan baru terhadapnya, lapor media tempatan Korea Utara pada Jumaat.

Sumber : AFP/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa