Korea Utara kenakan perintah berkurung lima hari di Pyongyang dek "jangkitan pernafasan": Laporan
Pihak berkuasa Korea Utara mengenakan perintah berkurung selama lima hari di ibu kota Pyongyang kerana kenaikan jumlah kes penyakit pernafasan, lapor agensi media NK News yang berpangkalan di Seoul pada Rabu (25 Jan), menukil satu notis pemerintah.

(Gambar: Reuters)
SEOUL: Pihak berkuasa Korea Utara mengenakan perintah berkurung selama lima hari di ibu kota Pyongyang kerana kenaikan jumlah kes penyakit pernafasan, lapor agensi media NK News yang berpangkalan di Seoul pada Rabu (25 Jan), menukil satu notis pemerintah.
Makluman itu tidak menyebut tentang COVID-19 namun ia menyatakan bahawa penduduk bandar itu dilarang keluar rumah sehingga Ahad dan mereka harus memeriksa suhu badan beberapa kali dalam sehari, menurut NK News, yang memantau Korea Utara.
Laman web NK News melaporkan bahawa penduduk Pyongyang kelihatan sedang menyimpan stok barangan sebagai persediaan jika berlaku pelaksanaan langkah-langkah lebih ketat. Ia tidak jelas sama ada kawasan lain di negara itu mengenakan sekatan yang baru.
Korea Utara pertama kalinya mengumumkan penularan COVID-19 di negara itu tahun lalu. Namun menjelang Ogos ia mengisytiharkan telah berjaya menangani virus itu.
Negara itu tidak pernah mengesahkan jumlah pesakit COVID-19 kerana dipercayai kekurangan alat untuk melakukan ujian secara besar-besaran.
Sebaliknya, Pyongyang melaporkan jumlah pesakit yang mengalami demam setiap hari, yang mana jumlah itu mencecah sekitar 4.77 juta daripada 25 juta penduduk negara itu. Namun ia tidak melaporkan sebarang kes demam sejak 29 Julai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.