Korea Utara janji bantu Rusia lawan Ukraine 'sehingga hari kemenangan'
Menteri Luar Korea Utara Choe Son Hui berjanji untuk membantu Rusia dalam perang melawan Ukraine “sehingga hari kemenangan”.
(Gambar: Yonhap)
Ini disampaikan dalam perbincangan bersama rakan sejawatannya, Sergei Lavrov, di Moscow pada Jumaat (1 Nov), lapor agensi berita Jerman (dpa).
“Kami sekali lagi berjanji bahawa kami akan sentiasa berdiri teguh di sisi rakan seperjuangan Rusia kami sehingga hari kemenangan,” kata Cik Choe dalam pertemuan itu, berdasarkan terjemahan kenyataannya dalam bahasa Rusia.
Encik Lavrov merujuk kepada kerjasama rapat antara tentera dan perkhidmatan keselamatan kedua-dua negara di tengah-tengah laporan mengenai penempatan ribuan tentera Korea Utara di Rusia berhampiran sempadan dengan Ukraine.
Cik Choe mendakwa Amerika Syarikat dan sekutu barat Ukraine menjalankan perang jangka panjang terhadap Rusia dengan membekalkan senjata.
Pyongyang tidak meragui “bahawa tentera dan rakyat Rusia di bawah kepimpinan bijaksana Presiden Vladimir Vladimirovich Putin pasti akan meraih kemenangan besar dalam perjuangan mutlak mereka untuk mempertahankan hak kedaulatan dan kepentingan keselamatan negara,” ujarnya.
Pada Khamis (31 Okt), Rumah Putih menyatakan sehingga 8,000 tentera Korea Utara telah ditempatkan di Wilayah Kursk, Rusia, yang bersempadan dengan Ukraine.
Wilayah itu menjadi sasaran serangan mengejut oleh tentera Ukraine awal tahun ini.
Washington mengandaikan bahawa tentera Korea Utara itu akan segera dikerahkan untuk berperang, dengan lebih ramai mungkin akan menyusul.
Encik Putin tidak menafikan kehadiran mereka dan menyatakan bahawa Ukraine juga menggunakan askar dari negara-negara anggota NATO.
Korea Utara telah membekalkan peluru berpandu dan peluru selama beberapa bulan kepada Rusia, yang melancarkan serangan besar-besaran ke atas Ukraine pada 24 Feb 2022.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.