Korea Utara dijangka sambut hari lahir ke-111 mendiang pengasas Kim Il-Sung pada 15 Apr

Penduduk Korea Utara melawat patung mendiang pemimpin Korea Utara, Kim Il-Sung dan Kim Jong-Il, sempena ulang tahun Kim Jong-Il, di Pyongyang pada 16 Februari 2023. (Gambar: Kim Won Jin/AFP)
SEOUL: Korea Utara dijangka mengadakan sambutan sempena ulang tahun kelahiran ke-111 mendiang pengasasnya, Kim Il-Sung, pada Sabtu (15 Apr) dengan pertunjukan bunga api dan persembahan tarian di ibu kota Pyongyang.
Televisyen negara Korean Central Television melaporkan beberapa acara akan diadakan Dataran Kim Il-sung di Pyonyang untuk menandakan cuti umum itu pada lewat Sabtu. Namun, ia tidak menyebut tentang acara dan persembahan yang diadakan pada skala besar.
Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, yang merupakan cucu kepada mendiang, dijangka berkemungkinan tidak menghadiri acara itu.
Sebelum ini beliau menghadiri perbarisan tentera sempena ulang tahun mendiang datuknya yang ke-100 dan ke-105 pada 2012 dan 2017. Encik Kim turut menghadiri perhimpunan besar-besaran tahun lalu sempena ulang tahun mendiang datuknya itu.
Pyongyang menghidupkan semula suasana perayaan untuk hari lahir mendiang pengasasnya dengan pelbagai acara seni dan setem peringatan pemimpinnya itu.
Ulang tahun itu berlangsung sedang Korea Utara mempertingkatkan provokasinya menjelang ulang tahun mendiang pengasasnya itu.
Pada Jumaat (14 Apr), Korea Utara mendedahkan ia melancarkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Hwasong-18 baru yang menggunakan bahan api pepejal, buat kali pertama.
Korea Utara melancarkan ICBM itu pada Khamis (13 Apr), dengan bimbingan pemimpinnya, untuk mengesahkan prestasi "enjin bahan api pepejal dengan kuasa tujahan tinggi bagi peluru berpandu berbilang fasa", menurut agensi berita KCNA.
Pelancaran itu turut berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di Semenanjung Korea kerana Korea Utara tidak memberi respons kepada panggilan rutin rentas sempadan menerusi wakil antara Korea dan talian perhubungan tentera sejak Jumaat lalu (7 Apr).
Pyongyang baru-baru ini melakukan ujian senjata lain, seperti pelancaran ICBM Hwasong-17 pada 16 Mac dan apa yang didakwanya sebagai dron serangan nuklear dasar laut, untuk membantah latihan tentera bersama oleh Korea Utara dan Amerika Syarikat semasa musim bunga.
Rejim itu mengutuk latihan tersebut sebagai persediaan untuk melakukan pencerobohan terhadap Korea Utara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.