Skip to main content

Dunia

Korea Utara beri amaran "tindak balas buruk" jika Seoul hantar lebih banyak dron

Korea Utara pada Jumaat (13 Feb) mengancam "tindak balas yang buruk" jika ia mengesan lagi sebarang dron yang terbang masuk merentasi sempadan dari Korea Selatan.
Anggaran Waktu Membaca:
Korea Utara beri amaran "tindak balas buruk" jika Seoul hantar lebih banyak dron

Gambar oleh pemerintah Korea Utara menunjukkan Kim Yo Jong, saudara perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, menyampaikan ucapan semasa mesyuarat negara mengenai koronavirus di Pyongyang, Korea Utara pada 10 Ogos 2022. (Gambar fail: AP/KCNA)

Diterbitkan : 13 Feb 2026 01:09PM Dikemas Kini : 13 Feb 2026 01:10PM
SEOUL: Korea Utara pada Jumaat (13 Feb) mengancam "tindak balas yang buruk" jika ia mengesan lagi sebarang dron yang terbang masuk merentasi sempadan dari Korea Selatan.

Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung berusaha memulihkan hubungan dengan Korea Utara sejak mula berkhidmat pada tahun lalu, sambil mengecam presiden negara itu sebelum ini yang didakwa menghantar dron untuk mengedarkan propaganda di seluruh Pyongyang.

Namun Korea Utara mendakwa ia menembak jatuh sebuah dron pemantauan pada bulan lalu, satu kejadian yang mengancam menjejas usaha Presiden Lee untuk memulihkan hubungan antara kedua-dua negara.

Kim Yo Jong, saudara perempuan kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, memberi amaran kesan akibat dahsyat jika penerbangan dron tidak dihentikan.

"Saya memberi amaran awal bahawa berulangnya provokasi seperti melanggar kedaulatan DPRK yang tidak boleh dipisahkan pasti akan menimbulkan tindak balas yang mengerikan," kata Cik Kim dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh Agensi Berita Pusat Korea di Pyongyang.

"Kami tidak peduli siapa dalang sebenar di sebalik pencerobohan dron ke ruang udara DPRK, sama ada individu atau organisasi awam," tambahnya, merujuk kepada nama rasmi Korea Utara.

Seoul pada awalnya menafikan sebarang pelibatan rasmi dalam pencerobohan dron pada Januari lalu, dengan pihak berkuasa mencadangkan ia perbuatan orang awam.

Namun satu pasukan bertindak bersama antara tentera dengan polis mengumumkan pada awal minggu ini bahawa ia sedang menyiasat tiga askar dan seorang kakitangan agensi risikan dalam usaha "mengesahkan sepenuhnya kebenaran".

Menteri Penyatuan Seoul Chung Dong-young meluahkan "kekesalannya" pada awal minggu ini.

Sebarang pelibatan pemerintah dalam pencerobohan dron pada Januari akan menjejas usaha Lee untuk meredakan ketegangan dengan Pyongyang.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita