Korea Utara baik pulih tapak peluru berpandu; sedang AS beri amaran kenakan lebih banyak sekatan
Agensi risikan Korea Selatan melaporkan bahawa ia mengesan tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Korea Utara sedang membaik pulih sebahagian daripada tapak pelancaran peluru berpandunya.

(Gambar fail: Reuters)
WASHINGTON: Agensi risikan Korea Selatan melaporkan bahawa ia mengesan tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Korea Utara sedang membaik pulih sebahagian daripada tapak pelancaran peluru berpandunya.
Lokasi itu dipercayai adalah tapak yang sama, yang menurut Pyongyang sepatutnya dirobohkan.
Pyongyang membuat ikrar tersebut di sidang puncak pertama antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pada Jun tahun lalu.
Gambar-gambar satelit menunjukkan bahawa kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di tapak pelancaran Tongchang-Ri.
Menurut akhbar Yonghap pada Selasa (5 Mac), kerja-kerja pembaikan itu melibatkan kerja-kerja menggantikan bumbung dan sebuah pintu di pusat tersebut. Kerja-kerja pembaikan dijalankan antara pertengahan Februari hingga awal Mac ini.
Berita itu diumumkan seminggu selepas sidang puncak kedua antara Encik Trump dengan Encik Kim diadakan di Hanoi.
Kedua-dua pemimpin itu bagaimanapun gagal mencapai persetujuan dalam rundingan-rundingan berhubung senjata nuklear.
Sementara itu, penasihat keselamatan negara Encik Trump, John Bolton, berkata Amerika Syarikat sedang menimbangkan untuk mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Korea Utara jika Pyongyang tidak melucutkan program nuklearnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.