Skip to main content

Dunia

Korea Utara akan putuskan saluran komunikasi dengan Korea Selatan

Korea Utara akan memutuskan saluran komunikasi tentera dan politik dengan "musuhnya" Korea Selatan pada Selasa (9 Jun) menurut media pemerintah, menyusuli ancaman berkaitan para aktivis menghantar risalah anti-Pyongyang melintasi sempadan.

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Utara akan putuskan saluran komunikasi dengan Korea Selatan

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 09 Jun 2020 12:15PM Dikemas Kini : 09 Jun 2020 12:19PM

SEOUL: Korea Utara akan memutuskan saluran komunikasi tentera dan politik dengan "musuhnya" Korea Selatan pada Selasa (9 Jun) menurut media pemerintah, menyusuli ancaman berkaitan para aktivis menghantar risalah anti-Pyongyang melintasi sempadan.

Ancaman itu timbul ketika hubungan kedua-dua negara itu terhenti, meskipun tiga sidang puncak antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in pada 2018.

Pyongyang akan 'memutuskan dan menutup saluran perhubungan antara pihak berkuasa kedua-dua negara, yang diselia menerusi pejabat perhubungan bersama Utara-Selatan', serta saluran komunikasi lain 'dari jam 12.00 tengah hari pada 9 Jun', kata Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Hubungan yang diputuskan termasuklah 'talian komunikasi Laut Timur dan Barat' antara tentera kedua-dua pihak, "talian komunikasi percubaan" antara Korea, serta antara Jawatankuasa Pusat Parti Buruh Korea dan Rumah Biru Korea Selatan, lapor KCNA.

Minggu lalu, Korea Utara mengancam menutup pejabat perhubungan dengan Korea Selatan dan memberi amaran akan mengambil langkah susulan bagi memastikan Korea Selatan 'menderita'.

Adik perempuan kepada Jong Un, Kim Yo Jong, turut mengancam untuk membatalkan persetujuan ketenteraan yang ditandatangani kedua-dua negara, melainkan Korea Selatan menghentikan tindakan aktivis menghantar risalah itu.

Mereka yang berpaling tadah dari Korea Utara, digelar sebagai 'sampah masyarakat' oleh Yo Jong, serta aktivis lain sejak sekian lama menerbangkan belon merentasi sempadan yang membawa risalah mengkritik Jong Un berhubung pencabulan hak asasi manusia dan cita-cita nuklear pemimpin itu.

KCNA melaporkan, pihak berkuasa Korea Selatan bersubahat dalam "tindakan permusuhan terhadap DPRK oleh sampah masyarakat".

"Perkara ini sudah memusnahkan hubungan antara Korea Utara dengan Korea Selatan," menurutnya.

"Kami sudah mencapai kata putus bahawa tiada lagi keperluan untuk bertemu empat mata dengan pihak berkuasa Korea Selatan dan tiada isu untuk dibincangkan kerana mereka telah mengecewakan kami," lapor KCNA.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita