Skip to main content

Dunia

Korea Selatan tuntut Ukraine mohon maaf kerana dedah tawanan perang Korea Utara

Pejabat Presiden Korea Selatan menuntut penjelasan rasmi dan permohonan maaf daripada Ukraine berhubung pendedahan pemindahan dua tawanan perang Korea Utara ke negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Selatan tuntut Ukraine mohon maaf kerana dedah tawanan perang Korea Utara

Bendera Korea Selatan berkibar di kompleks pemerintah di Seoul, Korea Selatan, pada 27 Februari 2025. (Gambar fail: AP/Lee Jin-man)

Diterbitkan : 28 Sep 2026 08:03AM
  • Pejabat Presiden Korea Selatan menuntut penjelasan rasmi dan permohonan maaf daripada Ukraine kerana mendedahkan pemindahan dua tawanan perang Korea Utara ke Korea Selatan.
  • Seoul berkata Kyiv sebelum ini meminta kerahsiaan melalui beberapa saluran, dan Korea Selatan bersetuju demi keselamatan, diplomasi serta pertimbangan kemanusiaan.
  • Pendedahan oleh Presiden Volodymyr Zelenskyy di Perhimpunan Agung PBB didakwa dibuat tanpa rundingan mencukupi dan menjejaskan kepercayaan dua hala.
  • Dua askar itu ditawan di Kursk pada Januari 2025, ketika isu ini muncul semasa Presiden Lee Jae Myung mahu menghidupkan semula dialog dengan Korea Utara.
Dijana oleh AI
SEOUL: Pejabat Presiden Korea Selatan menuntut penjelasan rasmi dan permohonan maaf daripada Ukraine berhubung pendedahan pemindahan dua tawanan perang Korea Utara ke negara itu.

Seoul menuduh Kyiv mendedahkan pemindahan tersebut secara sepihak sebelum menafikan bahawa kedua-dua pihak pernah bersetuju untuk merahsiakannya.

"Pejabat Presiden melahirkan rasa amat kesal terhadap pendedahan sepihak oleh Ukraine dan kenyataan palsunya selepas itu bahawa tiada persetujuan untuk merahsiakan perkara tersebut," kata Setiausaha Kanan Presiden bagi Perhubungan Awam Seong Ghi-hong dalam satu kenyataan pada Ahad (27 Sep).

Beliau berkata pemerintah Korea Selatan sedang meneliti langkah tambahan yang boleh diambil jika perlu.

Menurut Encik Seong, Ukraine beberapa kali membincangkan pemindahan tawanan itu dengan Seoul menerusi pelbagai saluran dan meminta perkara tersebut dirahsiakan.

Ini kerana pendedahan kepada umum dikhuatiri mencetuskan kritikan dalam negeri bahawa Kyiv melepaskan peluang untuk menukar kedua-dua askar itu dengan tawanan Ukraine.

Korea Selatan bersetuju merahsiakan pemindahan tersebut atas pertimbangan keselamatan, diplomatik dan kemanusiaan, termasuk keselamatan kedua-dua tawanan dan keluarga mereka.

DIDEDAHKAN DI PERHIMPUNAN AGUNG PBB

Menurut Pejabat Presiden Korea Selatan, Ukraine kemudian mendedahkan pemindahan itu menerusi ucapan Presiden Volodymyr Zelenskyy di Perhimpunan Agung PBB tanpa rundingan secukupnya terlebih dahulu.

Kyiv selepas itu didakwa menafikan kewujudan sebarang persetujuan untuk merahsiakan perkara tersebut.

Encik Seong berkata penafian itu menjejas kepercayaan antara kedua-dua pemerintah dengan serius dan boleh menjejas hubungan dua hala.

Kedutaan Ukraine di Seoul belum memberikan respons terhadap permintaan Reuters untuk mengulas.

Encik Zelenskyy memberitahu Perhimpunan Agung PBB minggu lalu bahawa Ukraine sudah memindahkan dua askar Korea Utara yang ditawan ke Korea Selatan.

Kedua-duanya ditangkap ketika bertempur bagi pihak Rusia dalam perang di Ukraine.

Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung sebelum itu turut berkata Ukraine mendedahkan pemindahan tersebut meskipun kedua-dua pihak sudah bersetuju untuk merahsiakannya.

"Saya tidak tahu keadaan yang menyebabkan pihak Ukraine mendedahkan perkara itu meskipun terdapat persetujuan kerahsiaan, tetapi ia amat dikesali," kata Encik Lee menerusi catatan di X.

DITAWAN DI KURSK

Ukraine menawan kedua-dua askar Korea Utara itu di wilayah Kursk, Rusia, pada Januari 2025.

Mereka merupakan askar Korea Utara pertama yang ditawan hidup-hidup sejak Pyongyang menyertai perang pada 2024 bagi membantu Rusia.

Korea Selatan sebelum ini enggan mengesahkan ketibaan kedua-dua askar itu atas kebimbangan terhadap keselamatan mereka dan anggota keluarga yang masih berada di Korea Utara.

Seoul dan Kyiv dilaporkan sudah membincangkan kemungkinan pemindahan selepas kedua-dua askar itu menyatakan hasrat untuk pergi ke Korea Selatan.

Pemindahan itu berlaku ketika Presiden Lee berusaha menghidupkan semula dialog dengan Korea Utara.

Pada masa sama, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sekali lagi menyatakan kesediaannya untuk berhubung dengan Pyongyang.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita