Korea Selatan tetapkan 3 Jun sebagai tarikh tentatif pemilihan presiden
Pemerintah Korea Selatan secara tentatif memutuskan untuk mengadakan pilihan raya presiden pada 3 Jun bagi memilih pengganti mantan Presiden Yoon Suk Yeol.
Mantan Presiden Yoon Suk Yeol (kiri) ketika perbicaraan di Mahkamah Perlembagaan di Seoul pada 21 Januari 2025. (Gambar fail: Yonhap melalui Bernama)
Tarikh tersebut dijangka dimuktamadkan pada mesyuarat Kabinet yang bakal berlangsung minggu ini.
Seorang pegawai kanan pemerintah memaklumkan Agensi Berita Yonhap bahawa Pemangku Presiden Han Duck Soo dijangka memuktamadkan tarikh pilihan raya itu semasa mesyuarat Kabinet pada Selasa (8 Apr).
"Memandangkan kepentingan perkara itu dan pertimbangan untuk menetapkan hari pilihan raya sebagai cuti umum khas, keputusan itu akan diluluskan semasa mesyuarat Kabinet," kata pegawai berkenaan.
Pilihan raya presiden secara sah dikehendaki diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Mahkamah Perlembagaan memecat Yoon daripada jawatan pada Jumaat lalu berhubung percubaannya melaksanakan undang-undang tentera yang gagal.
Sekiranya jadual 3 Jun disahkan, bakal calon mesti mendaftar sebelum 11 Mei, dan tempoh kempen rasmi akan bermula pada 12 Mei.
Di bawah undang-undang pilihan raya, mana-mana penjawat awam yang berhasrat untuk bertanding jawatan presiden mesti meletakkan jawatan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum pilihan raya.
Hal tersebut menjadikan 4 Mei tarikh akhir untuk peletakan jawatan tersebut.
Presiden baharu yang dipilih akan terus memegang jawatan sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan tanpa perlu membentuk pasukan peralihan kuasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.