Skip to main content

Dunia

Korea Selatan teruskan jambori pengakap meski dilanda gelombang haba; kontinjen SG, AS & Britain tinggalkan tapak perkhemahan

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Selatan teruskan jambori pengakap meski dilanda gelombang haba; kontinjen SG, AS & Britain tinggalkan tapak perkhemahan

Gambar: AP/Yonhap/Kim Joo-hyung

BUAN: Para pengakap warga Singapura, Amerika Syarikat dan Britain menarik diri daripada menyertai Jambori Pengakap Sedunia di Korea Selatan pada Sabtu (5 Ogos), disebabkan oleh cuaca membahang yang melanda negara itu.

Ini sedang pihak penganjur bertegas acara tersebut akan diteruskan meskipun kritikan semakin lantang terhadap keadaan tapak perkhemahan yang teruk.

Kira-kira 43,000 orang menyertai jambori tersebut di wilayah Jeolla Utara, tetapi gelombang haba yang membahang menyebabkan beratus-ratus pengakap jatuh sakit, sekali gus memaksa Seoul untuk mengerahkan doktor tentera, menawarkan bas berhawa dingin dan berikrar akan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan acara berkenaan.

Kumpulan-kumpulan pengakap menarik diri pada Sabtu (5 Ogos) sekalipun pihak penganjur menggesa para peserta untuk melihat acara itu sebagai "wadah untuk mengatasi cabaran".

Pemerintah menjalankan pemeriksaan mengejut dan mendapati keadaan tidak lagi seteruk seperti yang didakwa, menurut Perdana Menteri Han Duck-soo, sambil menambah bahawa selepas mengadakan rundingan dengan negara-negara yang mengambil bahagian, "kami memutuskan untuk meneruskan acara tersebut".

Pertubuhan Gerakan Pengakap Sedunia bagaimanapun menggesa Korea Selatan supaya menyingkatkan tempoh acara itu - yang dijadual berlangsung sehingga 12 Ogos di bandar tepi pantai Buan. Ia turut menyarankan langkah tersebut diambil ekoran isu-isu yang timbul akibat cuaca yang membahang.

Korea Selatan minggu ini mengeluarkan makluman cuaca panas yang tertinggi buat pertama kalinya sejak empat tahun lalu. Suhu di kawasan Saemangeum, berdekatan Buan bahkan, mencecah 34 darjah Celsius.
Gambar: AP/Yonhap/Choe Young-soo


Persatuan Pengakap Singapura menyatakan dalam satu kemas kini pada Sabtu bahawa ia akan berpindah dari tapak jambori itu.


"Keselamatan dan kebajikan sukarelawan muda dan dewasa kami menjadi keutamaan nombor satu," tegas persatuan tersebut, sambil menambah bahawa ia sudah berbincang dengan pihak berkepentingan tempatan sebelum membuat keputusan tersebut.


Persatuan tersebut sebelum ini menyatakan pada Jumaat bahawa gelombang haba yang sedang melanda itu berkemungkinan akan memaksa kontinjen pengakap negara pulang ke tanah air lebih awal.


Berkongsi dengan Mediacorp, ia turut mendedahkan bahawa tiada seorang pun dari kontinjen Singapura dilaporkan sakit disebabkan oleh gelombang haba.

Seramai 67 peserta dari Singapura mengambil bahagian dalam acara tersebut, dengan 40 daripada mereka merupakan pelajar daripada lingkungan usia antara 14 hingga 17 tahun. Manakala, selebihnya adalah sukarelawan dan guru.

Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita