Skip to main content

Dunia

Korea Selatan tamatkan operasi pencarian di tapak nahas Jeju Air

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Selatan tamatkan operasi pencarian di tapak nahas Jeju Air

(Gambar: YONHAP / AFP)

Diterbitkan : 05 Jan 2025 03:11PM Dikemas Kini : 05 Jan 2025 03:15PM
MUAN: Pihak berkuasa Korea Selatan pada Ahad (5 Jan) menamatkan operasi pencarian di lokasi nahas pesawat Jeju Air, seminggu selepas kemalangan maut itu meragut 179 nyawa sedang proses pemulihan hampir selesai, lapor agensi berita Yonhap.

Para pegawai berkata pasukan bomba, polis dan pasukan forensik sudah menyelesaikan pencarian terakhir di bahagian ekor pesawat Jeju Air pada lewat Sabtu malam (4 Jan), satu-satunya bahagian yang kekal utuh daripada nahas dan letupan.

Pihak berkuasa berkata tidak mungkin sebarang mayat atau barangan peribadi akan ditemui selepas itu.

Pesawat Jeju Air yang membawa 181 orang yang pulang dari Bangkok, terhempas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di daerah barat daya Muan pada 29 Disember, mengorbankan semua kecuali dua orang di dalamnya.

Operasi pencarian dijalankan sepanjang minggu lalu untuk mengeluarkan mangsa, manakala pasukan penyiasat menjalankan siasatan di lokasi bagi mengenal pasti punca nahas.

Kesemua 179 mayat telah ditemui dan 151 daripadanya sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing bersama barangan peribadi, lapor agensi itu.

Tidak termasuk tiga sekeluarga, baki 25 mayat dijangka diserahkan kepada keluarga mereka pada lewat Ahad (5 Jan).
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita