AS, Korea Selatan sambung latihan bersama tentera
Korea Selatan dan Amerika Syarikat pada Isnin (5 Nov) menyambung semula latihan ketenteraan berskala kecil yang digantung sebelum ini menyusuli sidang puncak bersejarah antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan peimimpin Korea Utara Kim Jong Un.
Gambar fail anggota tentera marin Korea Selatan (Gambar: Reuters)
SEOUL: Korea Selatan dan Amerika Syarikat pada Isnin (5 Nov) menyambung semula latihan ketenteraan berskala kecil yang digantung sebelum ini menyusuli sidang puncak bersejarah antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan peimimpin Korea Utara Kim Jong Un.
Latihan bersama tentera laut itu antara latihan bersama "terpilih" yang ditunda tanpa penetapan tarikh pada Jun, selepas Encik Trump menemui Encik Kim di Singapura dan berikrar untuk menghentikan latihan ketenteraan bersama yang "amat provokatif" dan berkos tinggi dengan Seoul.
Namun menurut kementerian pertahanan Seoul, Program Pertukaran Tentera Laut Korea (KMEP) yang melibatkan sekitar 500 anggota tentera marin dari Amerika Syarikat dan Korea Selatan akan disambung selama dua minggu bermula pada Isnin di bandar Pohang, di bahagian selatan negara itu.
"Kami sebelum ini menyatakan kami akan mengadakan latihan Amerika Syarikat-Korea Selatan pada tahap batalion atau pada skala kecil seperti dirancang," kata jurucakap kementerian pertahanan Seoul, Choi Hyun-soo, kepada para wartawan.
Washington merupakan sekutu pertahanan Seoul dan menempatkan 28,500 askar di Korea Selatan bagi melindunginya daripada jirannya yang mempunyai senjata nuklear.
Amerika Syarikat dan Korea Selatan sudah sekian lama mengadakan latihan bersama yang disifatkan sebagai latihan pertahanan. Namun ia disifatkan oleh Pyongyang sebagai persediaan serangan.
Penyambungan semula latihan ketenteraan diadakan hanya beberapa hari sebelum Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Mike Pompeo dijadualkan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Korea Utara untuk merundingkan isu pelucutan nuklear dan merancang sidang puncak kedua di antara pemimpin kedua-dua negara.
Semasa pertemuan mereka di Singapura, Encik Trump dan Encik Kim menandatangani kenyataan samar-samar berhubung pelucutan nuklear, namun tidak banyak kemajuan dicapai sejauh ini.
Seolah-olah membayangkan ketegangan semakin memuncak, menteri luar Korea Utara mengeluarkan kenyataan pada Jumaat dan mengugut untuk menyambung pembinaan senjata nuklear jika Amerika Syarikat enggan menamatkan sekatan ke atas Pyongyang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.