Skip to main content

Dunia

Korea Selatan sahkan kes pertama selesema burung dalam tempoh 3 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
 Korea Selatan sahkan kes pertama selesema burung dalam tempoh 3 tahun
(Gambar: Reuters)
Diterbitkan : 20 Nov 2025 06:45AM Dikemas Kini : 20 Nov 2025 06:48AM
SEOUL: Seekor angsa bean yang ditemui di pusat bandar Seoul disahkan positif selesema burung berpatogen tinggi, lapor agensi berita Yonhap yang memetik pegawai bandar raya itu pada Rabu (19 Nov).

Pemerintah Metropolitan Seoul menyatakan burung liar itu, yang ditemui dalam keadaan sakit baru-baru ini di daerah Seodaemun sebelum mati, disahkan dijangkiti H5N1 selesema burung.

Ini merupakan pengesanan pertama virus itu pada burung liar di Seoul dalam tempoh hampir tiga tahun, selepas kes terakhir dilaporkan pada Januari 2023.

Menurut para pegawai, burung itu diselamatkan pada Khamis selepas laporan daripada orang awam dan sedang menerima rawatan di pusat menyelamat hidupan liar apabila ia mengalami simptom neurologi dan mati.

Ujian seterusnya oleh Institut Kawalan dan Pencegahan Penyakit Hidupan Liar Kebangsaan mengesan antigen H5 pada bangkai burung terbabit pada Sabtu, dengan pengesahan akhir virus dibuat pada Selasa (18 Nov).

Sebagai respons, pihak berkuasa mempertingkatkan langkah pembasmian kuman dan memperluaskan pemantauan habitat burung liar di dalam dan sekitar kawasan tempat angsa yang dijangkiti itu ditemui, menurut pihak berkuasa bandar raya itu.
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita