Korea Selatan rancang ubah konkrit halangan lapangan terbang susuli nahas Jeju Air
Korea Selatan merancang untuk memperbaiki struktur yang dipasang antena untuk membantu pendaratan pesawat di lapangan terbangnya pada tahun ini, menyusuli nahas pesawat Jeju Air pada Disember lalu.

(Gambar: AFP/YONHAP)
Pesawat tersebut tergelincir di landasan lapangan terbang lalu terbakar setelah ia melanggar struktur sedemikian.
Kementerian Pengangkutan Korea Selatan yang telah memeriksa keadaan keselamatan pesawat dan lapangan terbang sejak berlaku nahas Jeju Air di lapangan terbang Muan itu, mengumumkan langkah merombak struktur tersebut pada Isnin (13 Jan).
Tujuh lapangan terbang tempatan, termasuk Muan, didapati mempunyai benteng atau asas yang diperbuat daripada konkrit atau besi yang perlu ditukar, menurut kementerian tersebut dalam satu kenyataan.
Tambahnya, ia akan melakarkan langkah-langkah untuk memperbaiki struktur berkenaan selewat-lewatnya bulan ini dan merancang menyiapkan kerja-kerja tersebut sebelum hujung tahun ini.
Kementerian itu bagaimanapun tidak mendedahkan perincian kerja-kerja penambahbaikan yang dirancang.
Pakar keselamatan penerbangan telah mengkritik pemasangan benteng di lapangan terbang Muan.
Menurut mereka, struktur itu berkemungkinan besar menyebabkan lebih ramai mangsa terkorban dalam nahas tersebut. 179 daripada 181orang maut dalam nahas tersebut.
Pemerintah Korea Selatan juga telah selesai memeriksa enam syarikat penerbangan tempatan yang memiliki pesawat Boeing 737-800s.
Ia mendapati beberapa pelanggaran, termasuk melepasi tempoh pemeriksaan sebelum dan selepas penerbangan, dan tidak mematuhi prosedur untuk menghuraikan sebarang kerosakan pada pesawat atau apabila penumpang menaiki pesawat.
Kementerian Pengangkutan Korea Selatan juga enggan mengulas sama ada Jeju Air merupakan antara syarikat penerbangan yang melanggar peraturan itu.
Seorang jurucakap Jeju Air tidak dapat segera dihubungi untuk mengulas.
Satu pemeriksaan keselamatan khas terhadap kemudahan di lapangan terbang utama Korea Selatan akan diadakan antara 13 dengan 21 Januari.
Pemerintah Korea Selatan juga akan melanjutkan tempoh penutupan lapangan terbang Muan sehingga 19 Januari, menurut Kementerian Pengangkutan negara itu dalam satu kenyataan berasingan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.