Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Korea Selatan, AS mulakan latihan ketenteraan bersama di tengah tindak balas Korea Utara

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Selatan, AS mulakan latihan ketenteraan bersama di tengah tindak balas Korea Utara

Tentera Amerika menyertai latihan bersenjata bersama bagi Amerika dan Korea Selatan. (Gambar: JUNG Yeon-Je/AFP)

Diterbitkan : 22 Aug 2022 04:39PM Dikemas Kini : 22 Aug 2022 04:42PM

SEOUL: Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) memulakan latihan ketenteraan tahunan bersama pada Isnin (22 Ogos) dengan menyambung semula latihan di lapangan sedang kedua-dua negara bersekutu itu meningkatkan tahap siap siaga berikutan kemungkinan berlakunya ujian senjata Korea Utara.

Latihan musim panas yang dinamakan Ulchi Freedom Shield tahun ini, dijadualkan tamat pada 1 Sep, selepas Presiden Yoon Suk-yeol berjanji 'memulihkan' latihan bersama dan meningkatkan pencegahan terhadap Utara.

Latihan diadakan dalam skala lebih kecil sejak kebelakangan ini disebabkan COVID-19 dan sementara Presiden Korea Selatan sebelum Encik Yoon cuba memulakan semula rundingan dengan Pyongyang, yang menuduh latihan bersama berkenaan sebagai latihan untuk menceroboh.

Korea Utara melepaskan dua peluru berpandu dari bandar pesisiran pantai barat Onchon minggu lalu, selepas Korea Selatan dan AS memulakan latihan persediaan.

Menurut pegawai Seoul, Korea Utara menjalankan ujian peluru berpandu tahun ini pada rentak yang tidak dijangka dan bersedia untuk melakukan ujian nuklear ketujuhnya pada bila-bila masa.

Sebelum ini, Encik Yoon berkata pemerintahnya bersedia menawarkan bantuan ekonomi sekiranya Pyongyang mengambil langkah melucutkan senjata nuklear negara itu. Namun, Korea Utara menolak keras tawaran itu sambil memberi kritikan terhadap Encik Yoon secara terbuka.

Kementerian pertahanan Seoul menyatakan negara bersekutu itu akan mengadakan 11 program latihan di lapangan, termasuk satu yang melibatkan beribu-ribu tentera.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan