Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Korea Selatan marah wartawan dipukul di China

Parti-parti pembangkang dan warga siber juga menyuarakan kemarahan, dengan menyatakan insiden itu adalah contoh sikap China terhadap negara-negara jiran yang lebih kecil.

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Selatan marah wartawan dipukul di China

Wartawan Korea Selatan cedera parah dipukul pengawal keselamatan China. (Gambar: Youtube/The Kukmin Daily)

Diterbitkan : 15 Dec 2017 07:33PM Dikemas Kini : 15 Dec 2017 07:36PM

SEOUL: Media Korea Selatan hari ini (15 Dis) menyuarakan kemarahan setelah para pengawal keselamatan China memukul dan menyebabkan seorang jurugambar rakyat Korea Selatan cedera parah, semasa beliau membuat liputan mengenai lawatan Presiden Moon Jae-in di Beijing.

Parti-parti pembangkang dan warga siber juga menyuarakan kemarahan, dengan menyatakan insiden itu adalah contoh sikap China terhadap negara-negara jiran yang lebih kecil.

Parti pembangkang utama, Parti Kebebasan Korea, menggesa Encik Moon supaya membatalkan lawatan empat harinya ke China dan pulang serta merta. Parti itu menyifatkan keganasan tersebut sebagai "serangan pengganas terhadap seluruh Korea Selatan".

Jurugambar berkenaan dicampak hingga jatuh ke lantai dan ditendang dan dilaporkan mengalami tulang retak pada bahagian mukanya serta pembuluh darah yang pecah pada bahagian mata. Kejadian itu berlaku sedang pengawal keselamatan China menahan jurugambar itu daripada mengikut delegasi Encik Moon masuk ke sebuah pameran perdagangan.

"Salah laku terhadap Presiden Moon dan mengasari wartawan - Inilah Impian China", menurut tajuk akhbar harian utama Korea Selatan, Chosun Ilbo. Ia merujuk kepada janji Presiden China, Xi Jinping, mengenai kemakmuran dan pengaruh.

Chosun dan akhbar-akhbar lain melaporkan tiga jamuan pertama Presiden Moon di China tidak diiringi mana-mana pegawai China, dengan satu jamuan tengah hari dengan Perdana Menteri Li Keqiang dibatalkan secara sepihak.

Presiden Moon disambut oleh penolong menteri semasa beliau mendarat, manakala Presiden Filipina Rodrigo Duterte disambut oleh Menteri Ehwal Luar Wang Yi pada tahun lalu.

Menurut Chosun sikap tersebut dan keganasan ke atas salah seorang anggota media yang mengiringi Presiden Moon bukan berlaku "secara tidak sengaja" dan didorong oleh "sikap China yang sombong dan kasar" dan "sikap Seoul yang menurut perintah Seoul".

"Perbuatan biadap yang ditunjukkan China terhadap delegasi Presiden Korea Selatan adalah impian China," menurut laporan Chosun lagi.

Akhbar bahasa Inggeris Korea Times menyifatkannya sebagai "keganasan yang mengejutkan oleh pengawal keselamatan China".

"Kami terkejut dan marah terhadap keganasan sedemikian terhadap para pengunjung. Kami marah terhadap sambutan yang biadap ini," lapor akhbar tersebut.

Warga siber turut menyuarakan kemarahan mereka.

"China menginjak-injak Korea dan seluruh rakyatnya," menurut seorang warga siber.

Sekalipun begitu sebahagian warga siber menyatakan jurugambar berkenaan terlalu beria-ia untuk mendapatkan gambar terbaik sehingga kerap melepasi hadangan, sekaligus menimbulkan masalah dengan pengawal keselamatan.

Seorang jurucakap Kementerian Ehwal Luar China Lu Kang semalam (14 Dis) berkata meskipun pameran perdagangan itu dianjurkan oleh pihak Korea Selatan, "jika seseorang cedera, (China) tentu sekali akan berasa prihatin".

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan