Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Korea Selatan longgarkan peraturan COVID-19 selepas jumlah kes merosot

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Selatan longgarkan peraturan COVID-19 selepas jumlah kes merosot

(Gambar: Anthony Wallace/AFP)

SEOUL: Korea Selatan pada Jumaat (13 Mei) mengumumkan ia akan melonggarkan syarat-syarat untuk memasuki negara itu sedang jumlah kes COVID-19 semakin merosot di negara tersebut. 

Langkah ini diharap akan memudahkan para pelawat untuk memasuki negara berkenaan. 

Bermula 23 Mei, pemerintah Korea Selatan akan mengiktiraf hasil negatif ujian pantas antigen (ART) untuk para pelawat menaiki pesawat ke Korea Selatan, selain hasil ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) yang turut diiktiraf sekarang. 

Sungguhpun demikian, ujian ART mesti dilakukan oleh pegawai perubatan 24 jam sebelum tiba di Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap. 

Mulai 1 Jun pula, para pelawat antarabangsa dikehendaki menjalani ujian PCR dalam tempoh tiga hari setelah tiba di Korea Selatan. Buat masa ini, ujian wajib tersebut perlu dilakukan sebaik tiba di negara tersebut. 

Korea Selatan akan meningkatkan jumlah penerbangan antarabangsa kepada sebanyak 762 penerbangan setiap minggu pada Jun berbanding 420 pada April dan 532 pada Mei sedang permintaan bagi perjalanan udara semakin meningkat, lapor Yonhap yang menukil Menteri Dalam Negeri Lee Sang-min. 

Keputusan itu dibuat selepas jumlah kes harian di Korea Selatan terus merosot sejak beberapa minggu kebelakangan ini setelah mencapai paras kemuncak dengan lebih 620,000 kes COVID-19 dilaporkan pada 17 Mac di tengah-tengah penularan varian Omicron. 

Pemerintah melonggarkan peraturan memakai pelitup di tempat terbuka pada 2 Mei, kecuali bagi perhimpunan besar dengan 50 peserta atau lebih, sedang ia menuju ke arah kehidupan seperti biasa. Namun, pelitup masih perlu dipakai di tempat-tempat tertutup. 

Pada Jumaat (13 Mei), Korea Selatan melaporkan 32,451 kes baru COVID-19, termasuk 15 kes import. 

Ini membawa jumlah terkumpul kes COVID-19 kepada sebanyak 17,727,086 kes, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA). 

Ini merupakan hari kedua berturut-turut di mana jumlah kes COVID-19 di negara tersebut kekal di bawah paras 40,000. 

Jumlah kes merosot daripada 35,906 yang dicatatkan pada Khamis (12 Mei), walaupun lebih tertinggi berbanding 26,701 kes yang dilaporkan minggu lalu. 

Setakat tengah malam Khamis (13 Mei), 86.8 peratus penduduk sudah lengkap divaksin, menurut data KDCA. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan