Korea Selatan lapor 34 kes baru COVID-19, jumlah tertinggi dalam sebulan
Korea Selatan melaporkan 34 kes baru virus korona hari ini (10 Mei).

Lelaki berusia 29 tahun dipercayai pencetusnya.
SEOUL: Korea Selatan melaporkan 34 kes baru virus korona hari ini (10 Mei).
Jumlah tersebut merupakan angka tertinggi dalam tempoh sebulan ini.
Wabak COVID-19 kembali merebak selepas kelompok baru dikesan di beberapa kelab malam yang dikunjungi seorang lelaki lewat 20-an tahun yang tidak sedar beliau disahkan positif virus berkenaan.
Lelaki itu kemudian menjangkiti puluhan orang lain.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC) menyatakan 26 daripada kes baru itu merupakan jangkitan tempatan, manakala lapan lagi adalah kes import.
Jumlah keseluruhan yang dilaporkan hari ini adalah yang tertinggi sejak 9 April.
Sebelum ini, Korea Selatan melaporkan sifar kes atau sangat sedikit kes dalam negeri selama 10 hari terakhir.
14 daripada 26 kes jangkitan tempatan dilaporkan di Seoul, meski KCDC tidak menyatakan secara khusus berapa jumlah kes yang terhubung kait.
Pihak berkuasa bandar Seoul menyatakan mereka mempunyai senarai 1,500 orang yang telah pergi ke kelab-kelab malam yang dikunjungi pesakit berkenaan.
Pihak berkuasa sudah meminta mereka yang berada di kelab-kelab malam itu untuk menjalani pengasingan diri selama 14 hari, di samping melakukan ujian saringan.
Penularan itu kembali muncul setelah Korea Selatan melonggarkan beberapa langkah jarak sosial dan berusaha untuk membuka semula sekolah dan perniagaan.
Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in memberi amaran gelombang kedua epidemik pada tahun ini, sambil mengingatkan bahawa kelompok baru itu boleh menyebabkan COVID-19 merebak secara meluas pada bila-bila masa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.