Korea Selatan kuat kuasa semula peraturan jarak selamat dek lonjakan kes COVID-19

Pelanggan di restoran di Pasar Namdaemun, Seoul pada 2 November 2021. (Gambar: Anthony Wallace/AFP)
SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan hari ini (16 Dis) menyatakan ia akan mengenakan semula peraturan jarak selamat selepas melonggarkan sekatan tersebut bulan lalu sebagai dasar 'hidup dengan COVID-19', gara-gara lonjakan jumlah kes jangkitan dan kes serius yang mengancam sistem perubatan mereka.
Peraturan-peraturan itu akan bermula Sabtu ini (18 Dis) hingga 2 Januari 2022 di mana perhimpunan dihadkan kepada empat orang yang sudah divaksin manakala restoran, kafe dan kemudahan hiburan malam pula akan ditutup pada pukul 9.00 malam serta 10.00 malam bagi pawagam dan kafe internet, kata Perdana Menteri Kim Boo-kyum.
Individu yang belum lengkap divaksin hanya boleh makan berseorangan, membawa pulang makanan yang dibeli ataupun menggunakan khidmat penghantaran.
Langkah-langkah itu diambil sehari selepas Korea Selatan mencatatkan rekod baru jumlah kes harian koronavirus akibat lonjakan jumlah kes serius dan juga kes positif dalam kalangan mereka yang sudah lengkap divaksin.
Lebih daripada 94 peratus orang dewasa di Korea Selatan sudah lengkap divaksin. Namun, jumlah kes baru melonjak hampir lima kali ganda dan jumlah kes serius pula meningkat sebanyak tiga kali ganda selepas peraturan dilonggarkan minggu lepas, sekali gus memberi tekanan kepada sistem perubatan negara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.