Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Korea Selatan diselimuti salji tebal untuk hari kedua; sekurang-kurangnya 4 maut

Korea Selatan bergelut dengan salji tebal untuk hari kedua pada Khamis (28 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Selatan diselimuti salji tebal untuk hari kedua; sekurang-kurangnya 4 maut

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 28 Nov 2024 07:19PM Dikemas Kini : 28 Nov 2024 07:20PM
SEOUL: Korea Selatan bergelut dengan salji tebal untuk hari kedua pada Khamis (28 Nov).

Berpuluh-puluh penerbangan telah dibatalkan, operasi feri digantung dan sekurang-kurangnya empat orang dilaporkan maut dalam cuaca teramat sejuk itu, walaupun keadaan cuaca ekstrem itu menunjukkan tanda-tanda reda.

Hujan salji kali ini adalah ketiga paling lebat di Seoul, sejak rekod mula dicatatkan pada 1907, menurut agensi berita Yonhap yang menukil data daripada bandar itu.

Salji setebal 40 sentimeter menyelimuti beberapa kawasan Seoul seawal pukul 8.00 pagi tadi, memaksa lebih 140 penerbangan dibatalkan.

Sungguhpun begitu, pihak berkuasa kaji cuaca menarik balik amaran salji tebal di kawasan metropolitan Seoul selepas pukul 10.00 pagi pada Khamis.

Seorang individu maut dan lagi dua orang cedera di sebuah padang golf selepas jaring yang ditimbuni salji terlepas pada Rabu.

Sementara itu, seorang lagi individu maut apabila sebuah khemah pelindung runtuh di sebuah tempat letak kereta, lapor media.

Kemalangan jalan raya di lebuh raya timur ibu negara itu mengorbankan sekurang-kurangnya dua individu, demikian menurut laporan.

Menurut polis, 11 individu cedera pada lewat petang Rabu apabila berlaku kemalangan berangkai melibatkan 53 kenderaan di lebuh raya di pusat bandar Wonju di wilayah Gangwon.

Lapangan terbang utama Seoul, Incheon paling teruk terjejas akibat salji tebal itu.

Para penumpang menghadapi kelengahan selama purata dua jam, manakala 14 peratus penerbangan ditangguhkan dan 15 peratus penerbangan dibatalkan pada Khamis, menurut laman penjejakan pesawat Flightradar24.

Pihak berkuasa Seoul menyatakan 142 penerbangan dibatalkan dan 99 operasi feri di 76 laluan digantung pada Khamis, menurut pihak berkuasa.

Sementara itu, pihak media turut melaporkan beberapa khidmat kereta api turut ditangguhkan.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, Scoot menyatakan pada Khamis bahawa khidmat penerbangan syarikat itu antara Singapura dengan Korea Selatan masih beroperasi.

"Sedang kami terus memantau keadaan cuaca di sana, kami mungkin membuat perubahan pada jadual disebabkan oleh pertimbangan cuaca di Incheon," kata seorang jurucakap Scoot.

"Keselamatan penumpang dan anak kapal adalah keutamaan kami, dan kami akan terus memantau keadaan di Korea Selatan dengan teliti dan membuat perubahan pada jadual penerbangan sewajarnya."

Seorang jurucakap Singapore Airlines (SIA) memberitahu Mediacorp pada Khamis bahawa lima penerbangan SIA tertangguh disebabkan oleh keadaan cuaca buruk di Korea Selatan.

Penerbangan itu adalah: SQ601, SQ605, SQ607 dan SQ611 yang berangkat dari Seoul ke Singapura pada 27 November, dan SQ607 yang berangkat dari Seoul ke Singapura pada 28 November.

Kelengahan itu berlanjutan dari sejam hingga sembilan jam.

"SIA akan menghulurkan bantuan kepada kesemua pelanggan yang terjejas sama ada di lapangan atau dalam pesawat. Jika berkesempatan, para penumpang juga akan disediakan dengan makan dan minum," kata jurucakap berkenaan.

"Kami akan terus memantau keadaan dan melakukan penyesuaian terhadap khidmat penerbangan kami jika perlu."

SIA juga memohon maaf kepada para pelanggan atas kesulitan yang berlaku dan menyatakan bahawa keselamatan penumpang dan anak kapalnya adalah keutamaan syarikat itu.

Cuaca salji yang luar biasa lebat pada bulan November dikaitkan dengan suhu laut yang lebih panas daripada biasa di barat semenanjung Korea yang menghadapi arus udara sejuk.

Negara jiran Korea Utara juga menerima salji setinggi lebih 10 sentimeter di beberapa kawasan antara Selasa dengan Rabu lalu, lapor penyiar tempatan Korean Central Television.
Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan