Korea Selatan dakwa dua juruterbang tentera udara atas kejadian bom di luar kawasan latihan
Dua juruterbang pesawat tempur Tentera Udara Korea Selatan didakwa pada Khamis (13 Mac) selepas siasatan mendapati kesilapan mereka menyebabkan pengeboman secara tidak sengaja di sebuah perkampungan minggu lalu, menurut Kementerian Pertahanan negara itu.

Seorang tentera Korea Selatan di kawasan bom digugurkan di luar kawasan latihan tentera di Pocheon, Korea Selatan pada 6 Mac 2025. (Gambar: Yonhap via AFP)
Khamis lalu, dua pesawat tempur KF-16 menggugurkan lapan bom MK-82 di luar kawasan latihan di Pocheon, sekitar 40 kilometer di utara Seoul. Kejadian tersebut mencederakan 38 orang termasuk 24 orang awam.
"Pasukan Penyiasatan Jenayah mengesahkan bahawa kesilapan juruterbang dalam memasukkan koordinat sasaran menjadi punca utama kejadian," lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian.
Dua juruterbang yang didakwa pada Khamis dikenakan pertuduhan kecuaian profesional sehingga menyebabkan kecederaan.
Dalam siasatan awal yang diumumkan pada Isnin, Tentera Udara turut memaklumkan bahawa pegawai berkenaan mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang untuk menyedari kesilapan mereka selepas memasukkan koordinat sasaran yang salah sebelum berlepas.
Tentera Udara turut mengaitkan kejadian itu dengan kelemahan dalam pengurusan dan prosedur pemeriksaan.
Dua komander unit digugurkan Tentera Udara Korea Selatan kerana gagal memberi arahan yang jelas kepada anggota bawahan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.