Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Korea Selatan, China setuju mulakan dialog diplomatik bincang isu keselamatan

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Selatan, China setuju mulakan dialog diplomatik bincang isu keselamatan

(Gambar: Ahn Young-joon / POOL / AFP)

SEOUL: Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dan Perdana Menteri China Li Qiang pada Ahad (26 Mei) sebulat suara bersetuju untuk memulakan dialog diplomatik bagi membincangkan isu keselamatan dan menyambung semula rundingan berhubung perjanjian perdagangan bebas.

Demikian menurut pejabat Encik Yoon.

Encik Yoon dan Encik Li mengadakan pertemuan di Seoul sehari sebelum menghadiri sidang bersama Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, iaitu rundingan tiga hala pertama oleh ketiga-tiga negara jiran itu sejak lebih empat tahun lalu.

China, Korea Selatan dan Jepun sedang berusaha untuk menangani ketidakpercayaan yang kian meningkat di tengah-tengah persaingan antara Beijing dan Washington serta ketegangan berhubung Taiwan.

Jangkaan terhadap sidang puncak tiga hala itu agak rendah dan setakat berjabat tangan sahaja mungkin dapat membantu mengekalkan tahap diplomasi antara ketiga-tiga negara selepas hubungan mereka semakin tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata para diplomat dan pegawai.

Para pemimpin boleh mencapai kemajuan dalam bidang kerjasama praktikal seperti pertukaran antara rakyat dan isu-isu konsular, menurut para pegawai dan diplomat.

Encik Yoon memberitahu Encik Li bahawa Korea Selatan dan China harus bekerjasama bukan sahaja demi kepentingan bersama berdasarkan sikap saling menghormati tetapi juga mengenai isu-isu serantau dan global untuk menangani cabaran secara bersama, sambil merujuk kepada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, konflik Israel-Hamas dan ketidaktentuan ekonomi global.

"Sama seperti bagaimana Korea dan China telah mengatasi pelbagai kesukaran secara bersama-sama sejak 30 tahun yang lalu dan menyumbang kepada kemajuan dan pertumbuhan masing-masing, saya berharap untuk terus mengukuhkan kerjasama dua hala sekalipun dalam menghadapi krisis rumit sejagat hari ini," kata Encik Yoon pada permulaan mesyuarat itu, menurut pejabatnya.

Selain itu, Encik Yoon juga meminta China untuk memainkan peranan yang lebih besar sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terutama sekali sedang Korea Utara terus menghasilkan peluru berpandu nuklear dan memperhebatkan kerjasama tentera dengan Rusia.

Selain itu, Korea Utara turut menyatakan ia akan melancarkan satu lagi satelit perisik menggunakan teknologi peluru berpandu balistik rentas benua.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan