Skip to main content

Dunia

Korea Selatan, China perluas hak penerbangan buat kali pertama dalam 7 tahun

Korea Selatan dan China bersetuju untuk memperluaskan hak penerbangan mingguan antara kedua-dua negara buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun, menurut Kementerian Pengangkutan Seoul pada Khamis (4 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Selatan, China perluas hak penerbangan buat kali pertama dalam 7 tahun

Seorang pekerja berjalan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou di wilayah Guangdong, China, pada 20 April 2018. (Gambar: China Daily menerusi REUTERS)

Diterbitkan : 04 Jun 2026 01:01PM
SEOUL: Korea Selatan dan China bersetuju untuk memperluaskan hak penerbangan mingguan antara kedua-dua negara buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun, menurut Kementerian Pengangkutan Seoul pada Khamis (4 Jun).

Langkah itu menjadi satu lagi petanda hubungan yang semakin erat antara kedua-dua negara jiran Asia itu.

Perjanjian yang dicapai dalam rundingan penerbangan dua hala yang diadakan di Seoul pada 27 hingga 28 Mei itu akan meningkatkan hak penerbangan penumpang sebanyak 56 penerbangan seminggu kepada 664 daripada 608 sebelum ini, dan hak penerbangan kargo sebanyak 14 penerbangan seminggu kepada 68 daripada 54, menurut Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan.

Kementerian itu menyatakan bahawa perjanjian tersebut akan memudahkan penambahan penerbangan bagi laluan yang mencatat permintaan tinggi seperti Incheon-Shanghai dan Incheon-Guangzhou, yang mana hak penerbangan sedia ada sudah digunakan sepenuhnya oleh kedua-dua pihak.

Perjanjian itu juga akan memperluaskan laluan dari lapangan terbang serantau Korea Selatan, termasuk Busan dan Cheongju, ke 10 bandar di China seperti Guangzhou, Chengdu, Shenzhen, Chongqing dan Xi'an, menurut kementerian tersebut.

Jumlah penumpang antara Korea Selatan dan China pada suku pertama 2026 mencecah sekitar 4.39 juta orang, melepasi paras sebelum pandemik iaitu 4.14 juta orang, menurut kenyataan itu.

Ketua Dasar Penerbangan kementerian tersebut, Lee So-young, berkata ia adalah sesuatu yang menggalakkan apabila kedua-dua negara berjaya mencapai peluasan hak penerbangan pada masa yang sesuai menerusi rundingan penerbangan yang aktif, sedang hubungan antara kedua-dua negara menunjukkan peningkatan.

"Kami menjangkakan perjanjian ini akan membantu meningkatkan jumlah pelancong China yang berkunjung ke Korea Selatan, memudahkan perjalanan rakyat kami ke China serta operasi syarikat import dan eksport, dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi dengan memperluaskan lagi akses syarikat penerbangan Korea ke pasaran China," kata beliau.

Kementerian itu menyatakan, pihaknya merancang untuk mengagihkan hak penerbangan tambahan yang diperolehi itu kepada syarikat-syarikat penerbangan Korea Selatan pada separuh kedua tahun ini.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita