Skip to main content

Dunia

Korea Selatan bertindak balas selepas Korea Utara lancar peluru berpandu paling banyak dalam sehari

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Selatan bertindak balas selepas Korea Utara lancar peluru berpandu paling banyak dalam sehari

Peluru berpandu balistik yang dilancarkan Korea Utara pada 3 November 2022. (Gambar: Jung Yeon-je/AFP)

Diterbitkan : 03 Nov 2022 09:10AM Dikemas Kini : 03 Nov 2022 09:26AM

LONDON: Korea Utara dan Korea Selatan melancarkan beberapa peluru berpandu ke dalam laut berdekatan perairan satu sama lain sedang ketegangan semakin memuncak. 

Korea Utara pada Rabu (2 Nov) melancarkan sekurang-kurangnya 23 peluru berpandu - iaitu jumlah tertingginya dalam sehari - termasuk satu yang gugur kurang 60 kilometer luar bandar selatan Korea Selatan, Sokcho. 

Seoul bertindak balas dengan jet-jet pejuangnya melancarkan tiga peluru berpandu ke garis sempadan maritim yang dipertikaikan. 

Kemudian, Pyongyang melancarkan enam lagi peluru berpandu dan membedil 100 peluru meriam secara bertubi-tubi. 

Korea Utara menyatakan pelancaran itu sebagai tindak balas kepada latihan ketenteraan berskala besar yang sedang diadakan oleh Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS), yang disifatkannya sebagai "agresif dan provokatif". 

Pada Selasa (1 Nov), Pyongyang memberi amaran bahawa kedua-dua negara itu akan "menerima padah paling dahsyat dalam sejarah" sekiranya mereka meneruskan latihan ketenteraan bersama, yang dilihat sebagai ancaman halus untuk menggunakan senjata nuklear. 

Setaiusaha Negara AS Antony Blinken dan rakan sejawatnya dari Korea Utara, Park Jin, mengecam pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara. 

Korea Utara menguji rekod jumlah peluru berpandu tahun ini sedang ketegangan semakin meningkat. 

Meskipun dikenakan sekatan yang melumpuhkan, Pyongyang sudah menjalankan enam ujian nuklear antara 2006 hingga 2017 dan timbul khabar angin bahawa ia sedang merancang untuk yang ketujuh. 

Langkah tindak balas yang berlaku pada Rabu (2 Nov) bermula dengan pelancaran peluru berpandu oleh Pyongyang ke perairan berhampiran Korea Selatan, sekali gus mencetus amaran serangan udara ke atas Ulleung, sebuah pulau di bawah kawalan Seoul. Para penduduk Ulleung diarah supaya berpindah ke lindungan bawah tanah. 

Sebutir peluru berpandu melintasi Garisan Had Utara (NLL), yang merupakan sempadan maritim antara Korea yang dipertikaikan. 

Ia gugur di luar perairan wilayah Korea Selatan tetapi merupakan pendaratan peluru berpandu Korea Utara yang paling dekat dengan Korea Selatan. 

Pihak berkuasa di Korea Selatan menyatakan peluru berpandu yang dilancarkan tenteranya gugur di jarak yang sama melintasi NLL di luar pantai Korea Utara. 

Pelancaran berbalas peluru berpandu tersebut berlaku sedang Korea Selatan menjalani tempoh berkabung di seluruh negara menyusuli insiden rempuhan di Seoul pada hujung minggu lalu, yang meragut nyawa lebih 150 orang. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita