Skip to main content

Dunia

Korea Selatan arah syarikat penerbangan periksa suis bahan api Boeing; Air India periksa armada pesawatnya

Korea Selatan sedang bersiap sedia untuk mengarahkan semua syarikat penerbangan di negara itu yang mengendalikan pesawat Boeing supaya memeriksa suis bahan api yang kini menjadi tumpuan siasatan berhubung nahas maut pesawat Air India yang meragut 260 nyawa.

Anggaran Waktu Membaca:
Korea Selatan arah syarikat penerbangan periksa suis bahan api Boeing; Air India periksa armada pesawatnya

Model pesawat perniagaan Boeing kelihatan di pertunjukan udara LABACE di Sao Paulo, Brazil pada 9 Ogos 2023. (Gambar fail: REUTERS/Gabriel Araujo)

SEOUL: Korea Selatan sedang bersiap sedia untuk mengarahkan semua syarikat penerbangan di negara itu yang mengendalikan pesawat Boeing supaya memeriksa suis bahan api yang kini menjadi tumpuan siasatan berhubung nahas maut pesawat Air India yang meragut 260 nyawa.

Kunci suis bahan api mula menjadi tumpuan selepas makluman keselamatan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) pada 2018 disebut dalam laporan awal berhubung nahas pesawat Boeing 787-8 milik Air India yang berlaku bulan lalu.

Seorang jurucakap Kementerian Pengangkutan Korea Selatan berkata pemeriksaan itu selaras dengan pemberitahuan FAA pada 2018, namun tidak memberikan jangka masa bagi pelaksanaannya.

Apabila dihubungi Reuters, Boeing merujuk pertanyaan kepada FAA, yang belum memberi sebarang ulasan di luar waktu operasi biasanya.

Mediacorp sudah menghubungi Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Singapore Airlines dan Scoot bagi mendapatkan maklumat sama ada pemeriksaan yang serupa akan dilaksanakan di Singapura.

Dalam nahas Air India itu, suis tersebut didapati bertukar hampir serentak dari kedudukan "berfungsi" ke "ditutup" sejurus selepas ia berangkat.

Namun, laporan awal tidak menyatakan bagaimana suis itu boleh bertukar semasa penerbangan.

Sepanjang hujung minggu lalu, kumpulan Air India sudah mula memeriksa mekanisme kunci pada suis bahan api bagi pesawat Boeing 787 dan 737 miliknya, dan setakat ini tidak menemui sebarang masalah, menurut sumber yang mengetahui perkara itu.

Kira-kira separuh daripada pesawat 787 milik kumpulan itu sudah diperiksa, manakala hampir semua pesawat 737 sudah menjalani pemeriksaan. Proses tersebut dijangka selesai dalam satu atau dua hari, tambah sumber itu yang bercakap dengan syarat agar tidak dikenal pasti.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan JAL dari Jepun menyatakan bahawa keselamatan menjadi keutamaannya, sambil menambah: “Kami sedang memantau rapi siasatan kejadian itu dan akan melaksanakan sebarang pemeriksaan yang diperlukan berdasarkan penemuan yang diperoleh.”

Dalam makluman keselamatannya pada 2018, FAA mengesyorkan, tetapi tidak mewajibkan, pengendali beberapa model Boeing, termasuk 787, supaya memeriksa ciri kunci suis bahan api bagi memastikan ia tidak boleh dialihkan dengan tidak sengaja.

Pada Ahad, Reuters melaporkan bahawa berdasarkan satu dokumen dan sumber yang boleh dipercayai, pihak pengeluar pesawat dan FAA secara dalaman sudah mengeluarkan makluman kepada syarikat penerbangan dan pihak berkuasa bahawa kunci suis bahan api pada pesawat Boeing adalah selamat dan tidak memerlukan pemeriksaan.

Laporan awal nahas Air India menyatakan bahawa syarikat penerbangan itu tidak melaksanakan pemeriksaan yang disarankan FAA kerana makluman FAA pada 2018 itu bukan satu kewajipan.

Namun, laporan itu juga menyebut bahawa rekod penyenggaraan menunjukkan bahawa modul kawalan pendikit (throttle), yang merangkumi suis bahan api, sudah diganti pada 2019 dan 2023 bagi pesawat yang terlibat dalam nahas tersebut.

Air India menggantikan modul itu pada 2019 dan 2023 sebagai sebahagian daripada penukaran berjadual selepas 24,000 jam penerbangan.

Perubahan tersebut tidak dikhususkan bagi pesawat yang terhempas itu, menurut sumber yang mengetahui tentang perkara tersebut.

Dalam satu memo dalaman pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif Campbell Wilson berkata siasatan terhadap nahas itu masih jauh dari selesai dan adalah tidak wajar untuk membuat sebarang kesimpulan pramatang.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita