Korea Selatan akan adakan Pilihan Raya Presiden selepas Yoon Suk Yeol dipecat
Para penyokong Presiden Yoon Suk Yeol menantikan keputusan Mahkamah Perlembagaan di luar kediamannya di Seoul pada 4 Apr 2025. (Gambar: Anthony Wallace/AFP)
Mengikut undang-undang, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas keputusan mahkamah.
Undang-undang itu turut menetapkan tarikh Pilihan Raya Presiden mesti diumumkan sekurang-kurangnya 50 hari lebih awal.
Ini memberikan tempoh 11 hari untuk pilihan raya diadakan antara 24 Mei hingga 3 Jun, namun para penganalisis menjangkakan pengundian akan berlangsung pada hari terakhir.
Para pemerhati menjangkakan 3 Jun - hari ke-60 selepas keputusan mahkamah pada Jumaat (4 Apr) - sebagai tarikh yang paling berkemungkinan memandangkan pilihan raya itu mungkin ditangguhkan bagi memberi masa yang mencukupi kepada parti-parti politik untuk bersiap sedia menghadapi pemilihan utama dan berkempen.
Ketika Presiden Park Geun-hye dilucutkan jawatan pada 10 Mac 2017, pilihan raya awal juga diadakan tepat 60 hari kemudian, iaitu pada 9 Mei.
Menurut laporan Yonhap, sekiranya pilihan raya pada 3 Jun disahkan, tempoh pendaftaran calon secara rasmi ialah antara 10 hingga 11 Mei.
Tempoh berkempen pula akan bermula pada 12 Mei hingga sehari sebelum pilihan raya, atau 2 Jun.
Undang-undang itu juga menghendaki mana-mana penjawat awam yang ingin bertanding bagi jawatan presiden perlu meletak jawatan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum pilihan raya, menjadikan 4 Mei sebagai tarikh akhir untuk berbuat demikian.
Pengundian awal dijangka berlangsung antara 29 hingga 30 Mei.
Presiden yang baru dipilih akan terus memegang jawatan serta-merta selepas keputusan pilihan raya diumumkan tanpa pasukan peralihan.
Menyusuli keputusan mahkamah, Pemangku Presiden Han Duck-soo berikrar akan memastikan kestabilan dalam aspek keselamatan negara dan diplomasi.
Encik Han berjanji akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan peralihan kepimpinan yang lancar kepada presiden baharu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.