Skip to main content

Dunia

Korban malaria melonjak angkara COVID-19, dedah WHO

Gangguan-gangguan berkaitan pandemik menyumbang kepada berpuluh-puluh ribu lagi kes kematian demam malaria pada 2020, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin (6 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Korban malaria melonjak angkara COVID-19, dedah WHO

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 07 Dec 2021 07:56AM Dikemas Kini : 07 Dec 2021 08:00AM

GENEVA: Gangguan-gangguan berkaitan pandemik menyumbang kepada berpuluh-puluh ribu lagi kes kematian demam malaria pada 2020, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin (6 Dis).

Menurut WHO lagi, tindakan segera perlu diambil untuk membantu mengelakkan berlaku senario yang lebih buruk.

Berdasarkan satu laporan baru, agensi kesihatan PBB itu mendapati bahawa COVID-19 menjejas kemajuan yang dicapai terhadap penyakit bawaan nyamuk itu, yang sudahpun memuncak sebelum pandemik melanda.

Dianggarkan 241 juta kes demam malaria dilaporkan di seluruh dunia pada 2020 iaitu 14 juta lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Angka korban yang semakin merosot sebelum ini pula melonjak kepada 627,000 pada tahun lalu, berbanding 69,000 pada 2019.

Kira-kira dua pertiga daripada jumlah kematian tambahan itu dikaitkan dengan gangguan terhadap pelaksanaan langkah-langkah pencegahan, diagnosis dan rawatan demam malaria semasa pandemik, menurut WHO.

Namun WHO menegaskan bahawa situasi itu "mungkin lebih buruk lagi".

Agensi PBB itu merujuk kepada ramalannya di peringkat awal pandemik bahawa gangguan khidmat boleh menyebabkan kes kematian demam malaria naik seganda pada 2020.

"Berkat kerja keras agensi-agensi kesihatan awam di negara-negara yang terjejas oleh demam malaria, ramalan terburuk daripada kesan COVID-19 itu tidak berlaku," menurut ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam kenyataannya.

"Kini kita perlu memanfaatkan tenaga dan komitmen yang sama untuk mengatasi rintangan yang disebabkan oleh pandemik dan mempertingkatkan tahap kemajuan terhadap penyakit ini."

Sejak hujung abad ini, seluruh dunia sudah mencatatkan kemajuan yang stabil terhadap malaria, dengan jumlah kes setiap tahun merosot sebanyak 27 peratus sebelum 2017 dan jumlah kematian pula menjunam lebih 50 peratus.

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita