Skip to main content

Dunia

Korban banjir, tanah runtuh di Indonesia meningkat kepada 84 orang

Banjir dan tanah runtuh di seluruh pulau Sumatra, Indonesia meragut sekurang-kurangnya 84 nyawa minggu ini, dan puluhan lagi masih hilang, menurut pegawai penyelamat pada Jumaat (28 Nov).
Anggaran Waktu Membaca:
Korban banjir, tanah runtuh di Indonesia meningkat kepada 84 orang
Kereta yang terperangkap di sebuah kawasan perumahan yang dilanda banjir susulan hujan lebat di Padang, wilayah Sumatra Barat, Indonesia, pada 27 November 2025. (Gambar: REUTERS)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 28 Nov 2025 09:48AM Dikemas Kini : 28 Nov 2025 01:28PM
MEDAN: Banjir dan tanah runtuh di seluruh pulau Sumatra, Indonesia meragut sekurang-kurangnya 84 nyawa minggu ini, dan puluhan lagi masih hilang, menurut pegawai penyelamat pada Jumaat (28 Nov).

Indonesia bersama negara jiran Malaysia dan Thailand dilanda hujan lebat yang menyebabkan puluhan kematian di seluruh rantau tersebut dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Di Sumatra Utara, “setakat pagi ini, jumlah korban ialah 62, dengan 95 orang tercedera, sama ada cedera parah atau ringan,” kata jurucakap polis tempatan, Ferry Walintukan.

“Sekurang-kurangnya 65 orang masih dicari,” kata beliau kepada AFP.

Di Sumatra Barat, sekurang-kurangnya 22 orang maut dan 12 lagi hilang, menurut agensi bencana tempatan.

Encik Walintukan berkata pihak berkuasa di Sumatra Utara memberi tumpuan kepada “pemindahan dan pemberian bantuan”.

Kata beliau, akses ke beberapa kawasan dan komunikasi masih terputus di Sumatra Utara.

“Mudah-mudahan cuaca cerah supaya kita dapat mengerahkan helikopter ke lokasi paling terjejas.”

Di Sibolga, bandar yang paling teruk terjejas, lebih 30 orang terbunuh, katanya.

Di Sumatra Barat, ketua agensi bencana tempatan Abdul Malik memberitahu AFP bahawa “22 orang telah meninggal dunia dan 12 orang masih lagi dicari.”

Hujan lebat juga menyebabkan banjir di Aceh, wilayah paling barat Indonesia, mencetuskan tanah runtuh dan memaksa pemindahan bagi hampir 1,500 orang, menurut agensi bencana tempatan.

Perkhidmatan elektrik di beberapa bahagian wilayah tersebut turut terputus, menurut seorang wartawan AFP.

Syarikat elektrik milik negara, Perusahaan Listrik Negara, berkata awal minggu ini bahawa pihaknya sudah menghantar kakitangan untuk memulihkan bekalan elektrik secara berperingkat selepas banjir kilat meruntuhkan menara transmisi.

Musim monsun tahunan, lazimnya berlaku antara Jun dan September, sering membawa hujan lebat yang mencetuskan tanah runtuh, banjir kilat dan penyakit bawaan air.

Keadaan tersebut diburukkan lagi oleh ribut tropika di rantau berkenaan dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Sistem cuaca itu turut menenggelamkan sebahagian daripada selatan Thailand, mengorbankan puluhan orang dan menyebabkan ramai yang terperangkap di rumah. Di Malaysia, ia turut menyebabkan banjir besar dan meragut sekurang-kurangnya dua nyawa.

Perubahan iklim menjejaskan corak ribut, termasuk tempoh dan kekuatan musim, yang menyebabkan hujan lebih lebat, banjir kilat dan tiupan angin lebih kuat.

Sekurang-kurangnya 38 orang maut pada bulan ini dalam kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di Jawa Tengah, dengan sekitar 13 lagi masih hilang.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita