Konvoi antarabangsa Palestin mulakan perjalanan darat dari Perancis
Lebih 500 aktivis dan sukarelawan dijangka menyertai Konvoi Palestin yang memulakan perjalanan darat dari Perancis menuju ke Tebing Barat yang diduduki. (Gambar: Instagram @palestineconvoy)
- Lebih 500 wakil masyarakat sivil dan sukarelawan dari pelbagai negara menyertai Konvoi Palestin yang bermula di Perancis menuju ke Srebrenica, Bosnia dan Herzegovina.
- Konvoi ini dianjurkan oleh Palestine Convoy untuk menarik perhatian antarabangsa terhadap krisis kemanusiaan dan pencabulan hak asasi rakyat Palestin.
- Peserta akan melalui beberapa negara termasuk Turki, Iraq dan Jordan, serta mengadakan perhimpunan dan acara awam bagi memperkukuh solidariti global.
- Inisiatif ini menekankan pendekatan aman, memperingati tragedi Srebrenica, dan membantah pendudukan serta undang-undang hukuman mati Israel terhadap tahanan Palestin.
Menurut penganjur menerusi akaun Instagram rasminya pada Jumaat (24 Jul), inisiatif yang diterajui orang awam itu bertujuan menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap pencabulan hak asasi manusia dan krisis kemanusiaan yang dihadapi rakyat Palestin.
Menurut kit media antarabangsa konvoi itu, laluan yang dirancang akan melalui Turki, Iraq dan Jordan sebelum delegasi pelbagai negara berhimpun berhampiran sempadan Tebing Barat.
Peserta dari Perancis dijadual bertemu delegasi dari beberapa negara Eropah di Srebrenica sebelum meneruskan perjalanan ke Istanbul, Turki, lokasi konvoi antarabangsa itu dijangka berhimpun.
Penganjur, Palestine Convoy, berkata Srebrenica dipilih sebagai lokasi perhimpunan awal bagi memperingati tragedi kemanusiaan yang pernah berlaku di kawasan itu serta menyeru supaya penderitaan seumpamanya tidak berulang.
Para peserta akan menggunakan kereta, van, bas, motosikal dan basikal sepanjang perjalanan.
Beberapa pertemuan dan acara awam turut dirancang di sepanjang laluan bagi meningkatkan kesedaran serta memperkukuh solidariti antarabangsa terhadap rakyat Palestin.
Penganjur berkata gerakan itu berpegang kepada pendekatan aman dan tanpa kekerasan serta memberi tumpuan kepada usaha advokasi berbanding misi bantuan kemanusiaan.
Lebih 500 aktivis, petugas kesihatan, pelajar, anggota kesatuan sekerja, ahli akademik, seniman, pemimpin keagamaan dan orang awam dijangka menyertai konvoi itu.
Peserta terdiri daripada wakil Malaysia, Indonesia, Perancis, Jerman, Kanada, Switzerland, Australia, Chile, Itali, Sepanyol, Afrika Selatan, Finland, Belanda, Turki, Tunisia, Algeria, Libya, Maghribi, Amerika Syarikat, Britain dan Belgium.
Konvoi itu turut bertujuan membantah pendudukan Israel di wilayah Palestin serta menggesa bantahan terhadap undang-undang hukuman mati Israel yang disifatkan penganjur sebagai mendiskriminasi tahanan Palestin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.