Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan akan pertingkat keserasian parti gabungan, kata Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan akan pertingkat keserasian parti gabungan, kata Ahmad Zahid

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 27 Mar 2023 10:32AM Dikemas Kini : 27 Mar 2023 10:33AM
TASEK GELUGOR: Penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur boleh meningkatkan keserasian kepimpinan parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata, konvensyen yang kali pertama diadakan selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan itu, akan memberi peluang kepada kepimpinan parti gabungan dari pelbagai peringkat untuk bersama.

"Walaupun Sekretariat Kerajaan Perpaduan telah mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali, tetapi konvensyen ini akan melibatkan kepimpinan pelbagai parti dari peringkat cawangan, Dewan Undangan Negeri, Bahagian, Negeri dan Nasional."

"Ini adalah bagi mewujudkan keserasian di semua peringkat. Kami perlu wujudkan persefahaman baik antara pemimpin dan ia akan diikuti ke peringkat akar umbi," katanya kepada media di Majlis Sentuhan Ramadan di Masjid Jamek Al-Islah Pokok Tampang di Tasek Gelugor, pada Ahad (26 Mac).

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I, Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman, lapor Astro Awani.

Apabila ditanya jika pihaknya sudah mendapat bayangan parti mana yang akan bertanding di kerusi mana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, beliau berkata, ia masih terlalu awal.

"Masih terlalu awal untuk kami memberikan bayangan. Yang penting ialah rundingan yang berasaskan kebolehmenangan. Bukan bertanding dengan berhasrat untuk mendapatkan jumlah tertentu, tapi yang penting adalah mendapatkan kemenangan," katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, di peringkat Pulau Pinang, kepimpinan tertinggi akan menyerahkan kepada peringkat negeri iaitu Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Musa Sheikh Fadzir untuk membincangkannya.

Encik Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional cuma akan menyentuh dari segi dasar sahaja, seperti dinukil Astro Awani.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan