Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Konvensyen Nasional bukti Kerajaan Perpaduan kukuh, stabil dan berfungsi, kata Setiausaha Agung PH

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan adalah sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan berfungsi, kata Setiausaha Agung Pakatan Harapan Saifuddin Nasution Ismail.

Tambahnya, selepas hampir enam bulan Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, semua pihak di dalam kerajaan tidak menoleh ke belakang sebaliknya terus melangkah ke hadapan dan bersama-sama membina negara bangsa.

Selain itu, katanya, asas perpaduan yang diterapkan oleh kerajaan juga sangat jelas dalam konteks sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

“Selepas konvensyen ini, kita bawa balik keyakinan bawah kerajaan kita ini kerajaan yang kukuh, stabil dan berfungsi. Asas perpaduan sesama kita antara orang Melayu dan bukan Melayu, Muslim dan bukan Muslim juga jelas, iaitu memelihara dan menjaga kepentingan bersama.

“Kepentingan bersama yang mengikat kita semua, misalnya menyumbang kestabilan politik, memakmurkan dan merakyatkan ekonomi dan menjaga keamanan negara,” katanya ketika sesi Bicara Rakyat pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Kuala Lumpur pada Ahad (14 Mei). 

Konvensyen yang menghimpunkan 19 parti politik yang mendukung Kerajaan Perpaduan itu berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Sementara itu dalam sesi sama, Setiausaha Agung Barisan Nasional Dr Zambry Abdul Kadir berkata penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah peristiwa bersejarah menghimpunkan parti-parti politik untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI yang digarap hasil kesepakatan dalam kerajaan, beliau juga turut menggariskan lima cadangan untuk mengorak langkah ke hadapan untuk negara bangsa.

“Pertama, kita cari titik persamaan bukannya perbezaan. Jadikan pentas ini (konvensyen) untuk mencari persamaan; keduanya, kita harus berkolaborasi sesama kita dan bukannya berkonfrontasi untuk negara yang lebih baik; ketiga, sifat ihsan dan bukannya kebencian.

"Keempat, semua pihak perlu berkongi kuasa dan bukannya keangkuhan kuasa dan terakhir bekerja dengan secara berhikmah dan bukannya beremosi,” katanya.
 
Bagi Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook ketika berucap pada sesi ucapan pimpinan utama di konvensyen itu, beliau membuktikan dakwaan kononnya DAP mendominasi pentadbiran Kerajaan Perpaduan adalah tidak benar.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak tepat sama sekali, Menteri Pengangkutan itu berkata Kerajaan Perpaduan yang didukung oleh 19 parti politik memiliki sokongan daripada 148 Ahli Parlimen.

Katanya daripada jumlah itu, 77 daripadanya adalah Ahli Parlimen Bumiputera yang beragama Islam, 16 Ahli Parlimen Bumiputera bukan Islam, Cina (43) serta 12 Ahli Parlimen India dan lain-lain.

"Maksudnya majoriti dalam Kerajaan Perpaduan ini masih didokong oleh Ahli Parlimen Melayu yang beragama Islam dan Bumiputera. Jadi pada hari ini, kita bukannya mainan campur-tolak, yang pentingnya ialah kita mesti menjalinkan kerjasama dan memastikan hubungan kaum yang baik. 

"...persaingan bukan antara kita tetapi persaingan adalah antara Malaysia dan negara luar," katanya. 

Mengulas mengenai hasrat Kerajaan Perpaduan, katanya ia adalah untuk mengembalikan kestabilan politik, mempertahankan kepelbagaian dan kemajmukan dalam negara dan menjalinkan kerjasama di antara kaum, agama dan wilayah. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan