Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kontraktor Indonesia terjun dari tingkat 4 rumah kedai di M'sia, ingin elak serbuan imigresen

Anggaran Waktu Membaca:

KAJANG: Seorang kontraktor binaan lelaki warga Indonesia nekad terjun dari tingkat empat sebuah rumah kedai untuk melarikan diri sebelum ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam Operasi Kutip di Hentian Jalan Reko, Kajang yang dijalankan bermula pada Isnin (8 Ogos) pukul 12.00 tengah malam.

Lelaki terbabit dipercayai cedera di kaki kanan akibat terjunannya yang tersangkut di bumbung zink di tingkat dua premis itu sebelum jatuh ke tingkat bawah serta cuba melarikan diri ke belukar berhampiran, namun tidak berdaya kerana kesakitan.

Lelaki berumur 27 tahun itu berkata dia bertindak demikian kerana takut ditahan memandangkan pasport miliknya sudah tamat tempoh pada Disember lalu. 

“Saya masuk ke Malaysia sejak tiga tahun lepas dan pasport sudah tamat tempoh sejak Disember tahun lalu. Disebabkan itu, saya takut dan melarikan diri,” katanya yang merupakan antara 175 individu ditahan imigresen setelah melakukan pemeriksaan ke atas 134 unit kediaman di enam blok di kawasan itu. 

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud yang menyertai operasi itu berkata pihaknya memeriksa 425 warga asing dan semua yang ditahan itu berumur lingkungan dua hingga 55 tahun terdiri daripada 132 lelaki dan 41 wanita serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan warga asing.

“Daripada jumlah itu, warga Myanmar paling ramai ditahan dengan 115 orang, Indonesia (33), Nepal (9), Sri Lanka (4), Bangladesh (13) dan India (1),” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas operasi tersebut.

Encik Khairul Dzaimee berkata antara mereka ditahan itu didapati bekerja sebagai tukang cuci, pekerja restoran dan kilang serta beberapa premis di sekitar kawasan terbabit.

“Tahanan juga melibatkan individu pencari suaka dari Myanmar (etnik Shan) yang mempunyai surat kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta sudah mempunyai keluarga di sini,” katanya.

Selain itu, Encik Khairul Dzaimee berkata turut operasi itu menemukan sebuah unit kediaman yang dijadikan pusat judi dalam talian, namun suspek sempat melarikan diri melalui tingkap yang sudah diumpil.

“Terdapat kira-kira 20 komputer riba ditemui di dalam unit itu manakala terdapat kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di luar pintu masuk dikawal dari jauh bagi memantau pergerakan keluar masuk,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan individu warga Indonesia ditahan didapati memasuki Malaysia melalui perairan Johor manakala individu dari Myanmar pula masuk menerusi jalan darat di sempadan Kedah.

Katanya warga asing itu didapati melakukan kesalahan tidak mempunyai dokumen, pas lawatan sosial tamat tempoh serta tamat permit kerja dan mereka kemudiannya dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan