Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kontrak dilanjutkan, syarat lebih ketat untuk firma urus kemasukan pekerja hijrahan ke Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia bersetuju untuk melanjutkan kontrak Bestinet Sdn. Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Pekerja Asing (FWCMS) di negara itu.

Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail berkata, persetujuan untuk melanjutkan kontrak yang diberikan kepada Bestinet selepas jemaah menteri bersetuju menyambung khidmat syarikat itu selama tiga tahun lagi.

“Ya, sudahpun dimuktamadkan oleh jemaah menteri beberapa minggu yang lepas,” katanya pada sidang media di kementeriannya, pada Isnin (24 Jun).

Kontrak syarikat Bestinet tamat pada 31 Mei lalu, dipetik agensi berita Malaysia Gazette.

Menurut Encik Saifuddin, lanjutan kontrak itu diberikan dengan menetapkan syarat-syarat yang lebih ketat terhadap syarikat tersebut.

Tambah beliau, kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Mohd Zuki Ali, wakil dari Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk membincangkan terma-terma kontrak.

“Tugas jawatankuasa akan duduk dengan syarikat berkenaan supaya dibangunkan beberapa parameter untuk memperkemaskan pelaksanaan sistem ini supaya kebajikan kerajaan dan majikan yang menggajikan pekerja asing dijaga dan kepentingan pekerja asing tidak terabai,” ujarnya, lapor Malaysia Gazette.

Encik Saifuddin berkata, antara prinsip asas yang dibincangkan dalam kontrak baharu itu termasuk mempercepatkan proses permohonan, mengurangkan kos migrasi dan kebajikan pekerja asing serta kepentingan majikan.

Sebelum ini, kerajaan digesa supaya menghentikan pelaksanaan FWCMS kendalian Bestinet dan menilai semula sistem tersebut, menurut Malaysia Gazette.

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (Haks), Shahir Adnan menyifatkannya sebagai suatu perkara serius dan mendakwa pelaksanaan sistem pengurusan pekerja asing oleh sebuah syarikat persendirian yang memiliki hubungan dengan ahli politik adalah bertentangan dengan agenda reformasi.

Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara 2022 yang diterbitkan pada 2023 antara lain mendedahkan terdapat banyak kelemahan yang berpotensi dimanipulasi, dengan contoh konflik kepentingan dan pelanggaran tadbir urus serta kawalan.

Ketua Audit Negara juga tidak dapat menemukan kaedah yang jelas tentang bagaimana sistem itu dapat dilaksanakan dan walaupun sudah tujuh tahun beroperasi, masih tidak ada perjanjian ditandatangani antara kerajaan dan Bestinet, menyebabkan hak kerajaan tidak dapat ditentukan.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan